TIGA aktivis Korea Selatan yang ditahan dan kemudian dibebaskan ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza bulan ini mendakwa pada Khamis yang mereka mengalami penderaan seksual dan fizikal oleh tentera Israel, lapor Agensi Berita Yonhap.
Warganegara Korea Selatan Kim Ah-hyun dan Kim Donghyeon bersama-sama Jonathan Victor Lee warga Amerika Syarikat berketurunan Korea, membuat dakwaan itu dalam sidang media beberapa hari selepas tiba di Seoul susulan pembebasan mereka minggu lepas.
Ketiga-tiga mereka menaiki dua bot bantuan berasingan menuju ke Gaza sebelum dipintas dan ditahan oleh tentera Israel.
Beberapa dakwaan penderaan itu pernah dibangkitkan sebelum ini, namun Kedutaan Israel di Seoul menafikan aktivis berkenaan ditahan atau dilayan secara buruk.
“Golongan lelaki diseksa menggunakan Taser, manakala wanita diganggu dan dicabul secara seksual,” kata Kim Ah-hyun mengenai individu yang turut menyertainya dalam misi itu. – Bernama



