ARTIKEL

Aktiviti ekonomi, perdagangan Malaysia dan China mempunyai peningkatan berterusan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEIJING: Malaysia serta China akan mengalami peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan sambil terus mengembangkan kerjasama serta pembangunan antara kedua-dua negara. 

Profesor Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti, Li Yihu berkata kedua-dua negara telah mengekalkan kerjasama dinamik di bawah rangka kerja dua hala dan pelbagai hala seperti yang disaksikan di bawah Rangka Kerja China-ASEAN termasuk Inisiatif Jalur dan Laluan.

“Saya berharap melalui lawatan dan komunikasi bersama antara Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China dan Parlimen Malaysia, kedua-dua pihak boleh berganding bahu untuk memajukan persahabatan serta perkongsian antara kedua negara,” katanya kepada media asing pada Ahad. 

Li, yang juga ahli jawatankuasa hal ehwal NPC dan Insititut Pengajian Taiwan universiti itu menjelaskan Malaysia adalah sebuah negara yang sangat penting dalam komuniti ASEAN.

“Beberapa tahun lepas, saya mengiringi naib pengerusi jawatankuasa tetap NPC melawat Malaysia serta Parlimen Malaysia.

Ini adalah salah satu contoh kerjasama yang baik antara China dan Malaysia dalam ekonomi serta komunikasi sivil,” tambah beliau.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. 

Tahun lepas, China terus menjadi rakan dagang terbesar Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut, menguasai 17.1 peratus pegangan daripada jumlah perdagangan Malaysia. 

Perdagangan dengan China jatuh sebanyak 7.3 peratus kepada RM450.84 bilion berbanding tahun sebelumnya di tengah-tengah landskap ekonomi global yang mencabar pada 2023 yang telah memberi kesan buruk kepada perdagangan antarabangsa termasuk prestasi perdagangan Malaysia, yang mengalami penguncupan.

Antara eksport Malaysia ke China tahun lepas merangkumi produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit serta produk pertanian berasaskan minyak sawit termasuk produk besi dan keluli manakala import terdiri daripada produk E&E, mesin, peralatan dan alat ganti serta bahan kimia dan produk kimia.

Sementara itu, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata industri semikonduktor muncul sebagai pemacu penting aliran pelaburan ke Malaysia, terutamanya di tengah ledakan kecerdasan buatan yang berterusan. 

Katanya, pelabur asing semakin tertarik kepada sektor semikonduktor Malaysia khususnya selepas banyak rantaian bekalan semikonduktor Amerika Syarikat (AS) beralih dari China berikutan perang teknologi yang berterusan antara kuasa besar itu.

Ini memberikan peluang besar kepada ekonomi Malaysia, mengingatkan era ketika Malaysia dilambung sebagai Lembah Silikon Timur, tambah Innes. 

“Bagaimanapun, terdapat kebimbangan yang lebih meluas mengenai potensi kesan tarif AS ke atas produk eksport China.

Malaysia adalah pembekal komoditi serta fabrikasi perindustrian yang penting kepada China, menjadikannya terdedah kepada ketegangan perdagangan antara AS dan China,” katanya kepada Bernama. 

Walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada peralihan rantaian bekalan semikonduktor, Innes memberi amaran berkenaan implikasi politik perang perdagangan China-AS.

“Kepulangan Donald Trump ke Rumah Putih, dengan janji bagi mengenakan tarif yang ketara ke atas barangan China, boleh memburukkan lagi ketegangan ini dan menimbulkan cabaran kepada kestabilan ekonomi dan hubungan perdagangan Malaysia,” tambahnya.

Hubungan Perdagangan AS-China

Li ketika mengulas mengenai hubungan perdagangan AS-China menegaskan bahawa satu siri langkah yang ekstrem telah dilaksanakan untuk membina tekanan ke atas China oleh bekas Presiden AS Donald Trump dan kini, diteruskan oleh penggantinya, Joe Biden. 

“Inilah yang dipanggil ‘halaman kecil dan pagar tinggi’ bagi membangunkan sistem pertahanan terhadap kemajuan teknologi tinggi China.

Ini juga merupakan percubaan untuk menyekat pembangunan teknologi tinggi,” tambahnya.

Li berkata pada 2022, AS telah mengharamkan eksport cipnya, khususnya cip komputer yang canggih ke China manakala menjelang Ogos 2023, Biden telah mengeluarkan arahan eksekutif presiden bagi mewujudkan sistem penyaringan untuk pelaburan asing yang menyasarkan mikro elektronik, sains kuantum, kecerdasan buatan dan teknologi tinggi yang lain.

Dalam langkah terbaru hubungan perdagangan ini, AS sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan ke atas syarikat China yang dipercayai membantu Rusia dalam perangnya di Ukraine, selepas langkah serupa dicadangkan pada Februari tahun ini oleh Kesatuan Eropah. 

Li menyatakan pada masa sekarang, terdapat kira-kira 11,300 perusahaan China berada dalam senarai sekatan AS.

“Mekanisme pertahanan ini cuba mengekang rantaian teknologi global, khususnya teknologi tinggi.

China juga akan membuat langkah balas terhadap sikap defensif seperti ini.

China menegaskan pembangunan terbuka dan inklusif untuk situasi menang-menang bagi masa depan selain untuk kerjasama. 

“Kami menentang usaha membina pagar tinggi terhadap halaman kecil seperti ini. Kami menyokong ekonomi global yang terbuka,” kata Li. — BERNAMA

BERITA LAIN

Thailand serah surat rasmi sertai BRICS

BANGKOK: Thailand secara rasmi telah menghantar surat hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, yang dikenali dengan

BERITA TERBARU

Saingan satu lawan satu di PRK Sungai Bakap

NIBONG TEBAL: Seberang Perai, Pulau Pinang: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan