KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 139 warga asing dalam serbuan ke atas 13 premis dipercayai menjadi pusat kegiatan maksiat dan pelacuran di sekitar ibu negara, hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, operasi bermula pada 11.30 pagi itu memberi tumpuan kepada kawasan dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan warga asing iaitu di Jalan Petaling, Jalan Imbi dan Jalan Pudu, dengan keseluruhan 205 individu diperiksa.
“Warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan terdiri daripada 27 lelaki serta 112 wanita berusia antara 20 hingga 65 tahun dan berasal dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Nepal dan Sri Lanka.
“Selain itu, 20 lelaki warga tempatan turut ditahan kerana disyaki bertindak sebagai kapten atau penjaga premis,” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.
Basri berkata, perkhidmatan ditawarkan pada harga serendah RM60 kepada pelanggan warga asing dan tempatan, dengan wanita berkenaan hanya bekerja di premis terbabit manakala tempat tinggal disewa di lokasi lain.
Selain itu, siasatan mendapati premis terlibat beroperasi 24 jam menerusi dua syif iaitu dari 6 pagi hingga 6 petang, sebelum bersambung sehingga keesokannya dengan pelanggan boleh datang secara terus tanpa perlu membuat tempahan.
“Pemeriksaan mendapati premis ini telah mengubah suai struktur bangunan dengan membina dinding pemisah secara haram. Kita akan menyalurkan maklumat ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan bagi memastikan sama ada semua premis yang menggunakan modus operandi sama itu dikendalikan oleh satu sindiket.
Beliau berkata, sebuah kereta Nissan Latio yang dipandu lelaki dan membawa penumpang warga asing turut cuba melarikan diri ketika serbuan di Jalan Petaling, namun berjaya dipintas pasukan operasi.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Beranang dan Semenyih untuk tindakan lanjut.
Tinjauan Bernama mendapati premis rumah kedai terbabit suram, kotor dan mengandungi peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.— BERNAMA






