SONG: Penduduk perlu menerima setiap usaha pembangunan dengan hati terbuka serta menghargai jasa wakil rakyat yang gigih memperjuangkan kemajuan kawasan luar bandar.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa kejayaan projek seperti Kampung Angkat Madani (KAM) memerlukan kerjasama erat masyarakat setempat.
“Sehubungan itu, penduduk perlu menerima setiap usaha pembangunan dengan hati terbuka, sambil menghargai jasa wakil rakyat yang gigih memperjuangkan kemajuan kawasan luar bandar, khususnya di DUN Katibas.
“Misalnya melalui projek KAM ini, hasil kerjasama strategik Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, dengan peruntukan sekitar RM4 juta.
“Pada peringkat awal, projek ini hanya melibatkan peruntukan RM2.5 juta, namun kos tambahan terpaksa ditanggung berikutan cabaran termasuk kos logistik yang tinggi,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi, hari ini.

Ahli Parlimen Kapit itu sebelum itu hadir Majlis Penyerahan KAM 2024 Kementerian Kerja Raya (KKR) di Perkampungan Nanga Engkuah, Ulu Katibas, Song.
“Sebuah komuniti yang sentiasa dekat di hati saya. Melaksanakan projek KAM di Nanga Engkuah bukanlah tugas mudah.
“Laluan pengangkutan sungai dan jalan balak menjadi cabaran utama, namun berkat kesungguhan semua pihak, projek ini akhirnya berjaya direalisasikan.
“Inisiatif ini adalah hasil ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; satu projek yang mungkin tidak begitu besar dari segi fizikal tetapi sangat besar maknanya kepada penduduk.
“Daripada empat projek KAM yang dilaksanakan di Sarawak, Nanga Engkuah terpilih sebagai salah satu lokasinya. Ini sewajarnya menjadi rasa syukur dan kebanggaan penduduk kerana komuniti ini turut menerima manfaat pembangunan yang dibawa kerajaan,” ujarnya.
Untuk tahun hadapan, tambahnya, kesinambungan projek ini bergantung kepada keputusan kerajaan dan Perdana Menteri.
“Namun sekiranya diteruskan, kami sudah mengenal pasti kawasan serta keperluan yang bakal diberi perhatian.
“Semoga usaha kecil tetapi bermakna ini terus membawa sinar baharu kepada penduduk Nanga Engkuah dan menjadi pemangkin pembangunan lebih luas di Ulu Katibas,” katanya.






