KUCHING: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan mengeluarkan surat ‘bayaran ganjaran’ yang ditandatangani atas namanya kepada seorang individu.
Beliau menegaskan, surat bertarikh 28 Julai 2025 yang tersebar itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) mahupun pihaknya sebagai menteri di kementerian berkenaan.

“Kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang jemputan rasmi bagi majlis penyerahan bayaran ganjaran sedemikian,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Alexander menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan dokumen seumpama itu yang jelas mempunyai unsur penipuan dan penyamaran.
Beliau berkata, kementeriannya telah mengambil maklum perkara itu dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Sekiranya terdapat sebarang keraguan mengenai ketulenan dokumen atau komunikasi yang didakwa dikeluarkan oleh KKR, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi terus saluran rasmi kementerian melalui laman web www.kkr.gov.my atau talian rasmi KKR.
“Keselamatan dan ketelusan dalam urusan pentadbiran adalah keutamaan kami,” katanya.



