BINTULU: Pelantikan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam rombakan Kabinet Persekutuan baru-baru ini disifatkan mampu memperkukuh penyertaan wakil Sarawak dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, sekali gus memberi manfaat kepada negeri itu dan negara secara keseluruhan.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata walaupun kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan bukan daripada parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), pelantikan tersebut wajar diterima secara terbuka memandangkan kerjasama politik di peringkat Persekutuan melibatkan pelbagai parti.
Menurut beliau, perbezaan parti politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh pentadbiran kerajaan, khususnya dalam konteks Kerajaan MADANI yang menghimpunkan wakil daripada GPS, Pakatan Harapan serta parti-parti lain.
“Walaupun GPS tidak bersama parti tertentu dalam Kerajaan Negeri Sarawak, kita bekerjasama di peringkat Persekutuan. Dalam Kerajaan MADANI, terdapat Parti Tindakan Rakyat (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).’
“Jadi, bagi saya, tidak timbul sebarang masalah,” katanya ketika mengulas pelantikan dua Ahli Parlimen Sarawak, masing-masing dari Mas Gading dan Miri, sebagai Timbalan Menteri dalam rombakan Kabinet Malaysia pada 16 Disember lalu oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Alexander, yang juga Ahli Parlimen Kapit dan Setiausaha Agung PBB, berkata pelantikan itu sekurang-kurangnya menambah bilangan wakil Sarawak yang diberi tanggungjawab besar di peringkat Persekutuan, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk membantu memperjuangkan kepentingan negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, peranan mereka bukan hanya tertumpu kepada Sarawak, sebaliknya melibatkan tanggungjawab terhadap seluruh rakyat Malaysia.
“Mereka bukan hanya berjuang untuk Sarawak, tetapi untuk seluruh negara. Ini adalah tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar bersikap lebih terbuka dan membezakan antara persaingan politik dengan keperluan bekerjasama dalam urusan pentadbiran.
“Politik adalah perkara berasingan. Jika tiba pilihan raya negeri, kita bertanding sebagai pasukan berbeza. Tetapi selagi belum sampai ke situ, kita perlu bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Terdahulu, Alexander menyaksikan majlis penyerahan Kuarters Guna Sama Persekutuan Bintulu antara Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Datuk Ir. Jasmi Wahab dengan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood serta Pengarah Saratech Sdn. Bhd., Wilfred Chai Hung Han.
Projek pembinaan Kuarters Guna Sama Persekutuan Bintulu bernilai RM6.45 juta itu dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) JKR Malaysia pada 21 Oktober 2022 dan siap sepenuhnya pada 2 September lalu.
Pembinaan projek tersebut dilaksanakan secara reka dan bina oleh kontraktor yang dilantik, Saratech Sdn. Bhd., merangkumi kuarters Kelas F sebanyak 70 unit, Kelas G (20 unit), bilik mekanikal dan elektrik (M&E), pondok pengawal, loji rawatan kumbahan, taman permainan, sistem retikulasi, tempat letak kereta serta kelengkapan perabot terbina dalam.





