KUCHING: Mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, merupakan negarawan unggul yang telah menabur bakti kepada tanah air dengan kepimpinan berteraskan nilai-nilai murni, penuh dedikasi, dan berhemah tinggi.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menzahirkan ucapan takziah setulus hati kepada seluruh keluarga Allahyarham, mengatakan bahawa pemergian tersebut adalah satu kehilangan besar buat negara.
Menurut Tun Wan Junaidi, Allahyarham dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa tenang, sederhana, dan mengutamakan prinsip kesantunan dalam berpolitik serta mentadbir negara.
“Menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri dari tahun 2003 hingga 2009, Allahyarham memperkenalkan pelbagai dasar penting yang membawa pembaharuan kepada negara.
“Antara sumbangan paling berkesan ialah gagasan Islam Hadhari, yang menekankan pendekatan pembangunan menyeluruh bagi masyarakat Islam dengan keseimbangan antara kemajuan rohani dan jasmani.
“Gagasan tersebut bukan sahaja mengukuhkan imej sebagai negara Islam progresif dan sederhana, malah turut melonjakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai contoh negara yang mengamalkan prinsip inklusif dan berpaksikan kemajuan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi semalam.
Tambah Tun Wan Junaidi, kepimpinan Allahyarham turut menekankan aspek tadbir urus baik, pembangunan insan, pengukuhan institusi, serta keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara sehingga ke hari ini.
Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang sentiasa menjadi contoh kepada generasi pemimpin masa kini dan akan datang, kerana sifat peribadinya yang luhur, sederhana, dan dekat di hati rakyat.
“Khidmat bakti beliau telah meninggalkan kesan mendalam dalam landskap pentadbiran negara,” ujarnya.
Tun Wan Junaidi serta Toh Puan Fauziah turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
Allahyarham Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Tun Jeanne Abdullah, dan empat orang anak, telah memimpin negara selama enam tahun sebelum digantikan oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, pada 2 April 2009.
Mesra dengan panggilan Pak Lah, Allahyarham dilantik sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.





