Alternatif tampung keperluan air musim kemarau di DUN Repok

SARIKEI: Langkah awal seperti menyediakan tangki penyimpanan air untuk menampung keperluan musim kemarau adalah bukti betapa serius Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi keselesaan kepada rakyat khususnya di DUN N.45 Repok.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha itu merupakan sebahagian alternatif untuk meringankan beban rakyat terutama penduduk yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai tangki untuk menyimpan air.

Katanya, pemberian tangki air itu kerana kerajaan sedar bukan semua rakyat mampu membeli tong berkenaan.

“Selain agihan secara individu, kita juga meletakkannya di lokasi-lokasi tertentu untuk kegunaan dan manfaat bersama.

“Langkah ini juga membolehkan mereka mendapatkan bekalan air tambahan sekiranya simpanan mereka tidak mencukupi,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Huang (kiri)
menyatakan sesuatu kepada Christopher sebelum memeriksa tangki air untuk penduduk Repok.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk menggunakan bekalan air secara berhemah ekoran keadaan cuaca tidak menentu dan kemarau yang mungkin berpanjangan.

Menurutnya, langkah penggunaan air dengan baik mampu menjamin bekalan air disalurkan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Dalam pada itu, saya akan terus melakukan pelbagai usaha bagi memastikan penduduk DUN Repok terutama di luar bandar menikmati bekalan air.

Usaha ini tidak dihentikan sebaliknya diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada masa yang sama beliau berkesempatan melakukan pemeriksaan ke atas semua tong sebelum diagihkan kepada penduduk di kawasannya semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau.

Sementara itu, penduduk ketika ditemui menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas usaha wakil rakyat Repok berkenaan.

Huang memeriksa sendiri keadaan tangki air sebelum diagihkan.

 

Bersama penduduk yang menerima agihan tangki

Suara Sarawak