KUCHING: Amalan membaca merupakan strategi utama dalam memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat dan perlu terus dipertingkatkan, tegas Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, budaya membaca diyakini mampu membentuk masyarakat yang sentiasa berusaha meningkatkan diri serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Amalan ini bukan sahaja penting dalam pendidikan formal di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), malah memainkan peranan besar dalam pembelajaran tidak formal dalam kalangan masyarakat.
“Pembelajaran sepanjang hayat amat penting dalam dunia yang sentiasa berubah. Dengan membaca, kita mengikuti perkembangan terkini dalam pelbagai bidang termasuk teknologi baharu, serta mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam dunia moden,” katanya.
Beliau menyampaikan amanat tersebut menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee sempena program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2025 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Tambahnya, amalan membaca adalah asas kemajuan sesebuah negara kerana ia memperluas pengetahuan, meningkatkan kemahiran, memperkukuh daya pemikiran kritis, serta membuka minda kepada idea-idea baharu.
“Masyarakat yang gemar membaca adalah mereka yang sentiasa mencari ilmu dan berinovasi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.
“Membaca bukan hanya membentuk individu berilmu, tetapi juga masyarakat yang matang, bijaksana dan seimbang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata, perpustakaan berperanan penting sebagai institusi ilmu dan warisan dalam pembangunan negara.
“Perpustakaan bukan sahaja pusat ilmu yang menyemarakkan inovasi dan kreativiti, malah pusat pemberdayaan masyarakat melalui akses maklumat dan pengetahuan bagi semua peringkat usia.
“Melalui perpustakaan, kita dapat membina masyarakat yang literat, kritis dan inovatif demi kesejahteraan serta pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit merupakan inisiatif Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat.
Disambut pada 23 April setiap tahun, rakyat diseru meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca, dengan tema tahun ini, “Nikmati Saat Ini”.
Untuk rekod, pada tahun lalu, seramai 9,729,534 orang telah menyertai program ini di seluruh negara, termasuk 376,969 peserta dari Sarawak.
Antara yang hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr Abang Rauf Abang Zen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang; dan Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Jeniri Amir.



