ARTIKEL

Amalkan kehidupan mesra alam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERUBAHAN iklim yang ekstrem di seluruh dunia memberi cabaran besar kepada sesebuah negara terutama rutin harian penduduk dan aktiviti pembangunan.

Secara amnya, perubahan iklim boleh berlaku disebabkan proses semula jadi di dalam bumi dan aktiviti manusia secara langsung dan tidak langsung yang memberi kesan terhadap atmosfera bumi.

Perubahan iklim bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran, malah menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan politik.

Sama ada ia datang dalam bentuk gelombang haba atau cuaca sejuk melampau, perubahan iklim boleh menyebabkan kekurangan keperluan asas, seperti air dan makanan, sekali gus menjejaskan kehidupan manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2018 menjangkakan pada 2030 hingga 2050, kadar kematian akibat kesan perubahan iklim sebanyak RM250,000 dan kos kesihatan untuk rawatan sebanyak AS$4 bilion.

Perubahan iklim merupakan isu global apabila Malaysia yang terletak di garisan Khatulistiwa turut terkesan dengan impak fenomena terbabit.

Malaysia yang beriklim panas dan lembab sepanjang tahun menjadikan tanah subur untuk pertanian serta menjamin bekalan air bersih mencukupi bagi tujuan domestik.

Bagaimanapun, perubahan cuaca melampau seperti hujan lebat berpanjangan menyebabkan bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan banjir lumpur.

Misalnya, pada 18 Mac lepas bencana banjir kilat melanda beberapa kawasan di Kuching, Kota Samarahan, Padawan dan Serian sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.

Semasa kejadian beberapa kenderaan terkandas dan tenggelam selain pengguna jalan raya juga memberhentikan kenderaan di bahu jalan yang lebih tinggi berikutan air deras.

Selain Sarawak, negeri lain seperti Johor turut terjejas akibat bencana banjir apabila lebih 41,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada awal Mac.

Setakat 18 Mac, banjir di negeri berkenaan semakin pulih apabila tinggal 20,107 orang (5,751 keluarga) selepas lebih dua minggu dilanda banjir.

Kita berharap keluarga yang terjejas banjir tabah menghadapi dugaan ini meskipun banyak kerugian, tetapi nyawa lebih penting.

Bencana seperti ini pasti menjejaskan banyak perkara terutamanya aktiviti pertanian khasnya petani yang masih mengamalkan pertanian tradisional seperti penanaman padi, lada dan getah.

Segelintir masyarakat di Sarawak yang menanam padi dan sekarang musim menuai mengeluh apabila hujan lebat merosakkan padi yang telah masak.

Dalam isu berkaitan, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan kajian mendapati bumi kehilangan satu pertiga tanah suai tani dalam tempoh 40 tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan bencana alam dan pemuliharaan yang lemah.

Lebih 1.3 bilion penduduk dunia tinggal di tanah pertanian yang semakin tidak subur dan ia mengakibatkan kekurangan hasil tanaman, sekali gus meningkatkan risiko kebuluran dan kemiskinan.

Sementara itu, kerosakan yang dibawa bencana alam adalah hampir mustahil untuk diatasi oleh penduduk miskin.

Hakikatnya, Malaysia amat terkesan dengan pelbagai bencana alam yang berkait rapat dengan perubahan iklim seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh, menyebabkan kerugian kepada negara dan menjejaskan ekonomi dan emosi masyarakat.

Oleh itu, secara keseluruhanya semua penduduk di dunia ini tanpa mengenal miskin atau kaya terkesan dengan perubahan iklim tersebut.

Sebagai penduduk dunia marilah kita sama-sama melakukan yang termampu dalam memulihara dan memelihara kesihatan bumi demi masa depan generasi akan datang.

Antara langkah penting dalam menangani isu ini ialah mendesak komuniti global mengamalkan cara hidup yang lestari dan mesra alam.

Sebagai contoh, perubahan teknologi berinovasi secara lebih mesra alam perlu dilaksanakan bagi menggantikan teknologi sedia ada dalam pengurangan pencemaran gas rumah hijau.

Setiap individu digalakkan berjalan atau berbasikal bagi jarak dekat ke tempat kerja atau urusan seharian sekali gus dapat memberikan kesihatan fizikal.

Selain itu, kurangkan penggunaan plastik dan setiap individu digalakkan bercucuk tanam di halaman rumah masing-masing.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU