ARTIKEL

Ibu Pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi, Selangor. | BERNAMA

Aman Palestin tidak boleh cabar pembekuan akaun bank

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perintah membekukan akaun bank Aman Palestin tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kuasa budi bicara dalam menjalankan siasatan jenayah, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Aman Palestin untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman atas alasan pengeluaran notis yang dibantah itu tidak boleh diterima untuk semakan kehakiman.

“Kuasa untuk mengeluarkan perintah pembekuan adalah satu daripada mekanisme siasatan yang diperuntukkan undang-undang.

Agensi penguatkuasaan undang-undang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah pembekuan harta seseorang setelah memenuhi beberapa syarat.

“Perkara itu termaktub dalam Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

“Pengeluaran perintah pembekuan ini hanya dibuat apabila agensi penguat kuasa telah memulakan siasatan terhadap seseorang individu dan terdapat alasan yang munasabah untuk mengesyaki sama ada orang itu melakukan atau akan melakukan kesalahan membiayai keganasan atau harta itu adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Ahmad Hanir berkata mahkamah banyak kali menegaskan bahawa pelaksanaan fungsi atau kuasa berkaitan proses siasatan jenayah tidak boleh diterima untuk semakan kehakiman.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Aman Palestin dalam hujahnya menyifatkan keengganan SPRM untuk membatalkan atau mengubah perintah pembekuan salah itu sebagai sesuatu yang tidak munasabah dan tidak mengikut Seksyen 44 (1) Akta AMLA.

“Akibat pembekuan akaun itu, segala kutipan dana bantuan kepada mangsa kekejaman Israel di Gaza kini telah terhenti dan tidak dapat dilakukan lagi.

“Ini menjadi lebih genting lagi apabila Program Bantuan Musim Sejuk yang dianggarkan menelan RM10 juta tidak dapat disalurkan kepada mangsa di Gaza,” kata peguam itu.

Sehubungan itu katanya kebenaran perlu diberikan kepada pemohon untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman kerana permohonan itu mempunyai merit.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, kemudian menetapkan 21 Mac bagi keputusan permohonan itu melalui e-mel.

Aman Palestin Bhd memfailkan permohonan pada 31 Jan lepas untuk mengetepikan keputusan SPRM membekukan 11 akaun bank mereka.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu juga memohon perintah mandamus agar SPRM mengubah perintah pembekuan supaya wang berjumlah RM11,026,215.60 dinyahbekukan dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja, pentadbiran, operasi dan misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan akan datang.

Selain itu, ia juga memohon deklarasi bahawa pemohon masih boleh mengutip dana daripada orang ramai dan menyalurkannya secara terus kepada mangsa perang di Gaza.

Aman Palestin selaku pemohon memfailkan permohonan itu dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, dua pegawai agensi itu, Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff, SPRM dan kerajaan selaku responden pertama hingga ketujuh.

Pada 15 Februari lepas, tiga individu termasuk Pengerusi Eksekutif serta Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 164 pertuduhan pecah amanah, menipu dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik badan itu. — BERNAMA

BERITA LAIN

Dedahkan pelajar hala tuju kerjaya, kenali potensi diri

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan sekurang-kurangnya 552 sekolah pelbagai aliran di seluruh negara menyertai MYFutureJobs Career Exploration Programme (CEP). Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk

Perodua pamer prototaip EV pertama di Malaysia Autoshow 2024

SERDANG, Selangor: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengorak langkah dalam pembangunan teknologi elektriknya dengan memperkenalkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Myvi Conversion. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk

BERITA TERBARU

Jururawat barisan hadapan sistem kesihatan negara

KUCHING: Jururawat adalah enjin utama ekonomi sistem penjagaan kesihatan yang menyumbang kepada kecekapan sistem, penjimatan operasi serta perbelanjaan dan kualiti kesihatan masyarakat. Pengarah Hospital Umum

Sentiasa cari peluang manfaatkan kepakaran

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan sentiasa mencari peluang untuk memanfaatkan kepakaran untuk kebaikan masyarakat menerusi Inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) Rumah Pintar, dengan tumpuan

Bank makanan siswa

PROGRAM bank makanan siswa institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan inisiatif kesinambungan Program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada 22 Disember 2018. Ia adalah untuk membantu