DALAM benak seseorang, pasti ada persoalan yang terngiang-ngiang mengenai sesuatu perkara dan memerlukan jawapan bagi persoalan tersebut.
Persoalan itu boleh timbul dalam pelbagai konteks sama ada mengenai agama, ilmiah, hiburan dan sebagainya.
Tidak terkecuali juga ada persoalan yang timbul dalam konteks perubatan atau kesihatan mengenai suatu penyakit atau penjagaan kesihatan.
Salah satu penyakit yang menimbulkan persoalan daripada orang ramai adalah berkaitan leukemia, misalnya bagaimana simptom awal menghidapi penyakit mahupun rawatan yang boleh dilakukan.
Wan Haslindawani Wan Mahmood dalam bukunya berjudul 100 Persoalan Mengenai Leukemia mempunyai jawapan kepada soalan lazim orang ramai mengenai penyakit ini.
Apakah itu leukemia?
Perkataan leukemia berasal daripada bahasa Yunani yang membawa maksud darah putih.
Leukemia merupakan penyakit darah dan lebih dikenali sebagai kanser atau barah darah.
Leukemia juga sejenis penyakit yang diklasifikasikan sebagai kanser darah atau sumsum tulang dan berlaku disebabkan oleh transformasi sesuatu penyakit yang berbahaya ke atas sel-sel pembentuk sumsum tulang dan jaringan limfoid.
Seterusnya, sel-sel normal dalam sumsum tulang digantikan dengan sel darah putih yang abnormal dan kemudiannya keluar daripada sumsum tulang memasuki peredaran darah.
Akhirnya, sel abnormal atau sel leukemia ini akan mempengaruhi proses pembentukan sel darah normal dan sistem imuniti seseorang.
Apakah penyebab leukemia?
Penulis menjelaskan punca kepada penyakit leukemia masih tidak diketahui, namun menyenaraikan empat faktor dipercayai mungkin mempengaruhi perkembangannya.
Faktor pertama disebabkan oleh radiasi kerana leukemia berlaku pada kadar yang lebih tinggi dalam kalangan orang yang terdedah kepada sinaran yang tinggi.
Misalnya, pekerja yang terdedah dengan bahan radiasi, orang awam yang terdedah pada sinaran selepas bencana loji nuklear Chernobyl dan para pesakit yang pernah menerima rawatan sinaran dalam kuantiti yang banyak seperti rawatan radioterapi untuk kanser.
Kedua adalah faktor leukemogenik, iaitu bahan kimia yang dikenal pasti boleh mempengaruhi kejadian leukemia seperti bahan karbon atau benzena.
Benzena pula terdiri daripada bahan kimia industri seperti racun makhluk perosak serta ubat kemoterapi.
Mereka yang terdedah pada benzena ini berisiko tinggi untuk mendapat leukemia mieliod akut. Ketiga, faktor genetik mungkin memainkan peranan penting dalam perkembangan leukemia limfoid kronik yang lebih lazim berlaku kepada lelaki dan berkemungkinan diwarisi dalam keluarga.
Keempat disebabkan oleh virus yang dikenal pasti berkait rapat dengan kejadian leukemia seperti retrovirus, virus leukemia feline (FeLV) dan HTLV-1.
Jenis-jenis leukemia?
Penulis menyatakan terdapat lima jenis leukemia dalam buku ini dan yang membezakannya kelima-limanya merupakan gejala dan penyebab kepada penyakit ini. Jenis pertama adalah leukemia limfoblastik akut.
Pada peringkat awal sel darah putih yang dinamakan limfoblas, bentuk asas kepada sel darah putih matang (limfosit) terhasil dengan banyak, namun gagal berkembang menjadi limfosit.
Tanda klinikal kepada leukemia jenis ini adalah mengalami keletihan, demam berpanjangan, hilang berat badan, sakit pada sendi-sendi badan, sesak nafas, mudah berdarah dan lebam pada tubuh badan.
Kedua adalah leukemia mieloid akut (AML) dan terjadi apabila sel myeloid baharu gagal untuk berkembang menjadi matang.
Tanda kepada leukemia jenis ini disebabkan oleh penggantian sel-sel darah yang normal dalam sumsum tulang dengan sel granulosit yang tidak matang dan kesannya segala fungsi sel-sel darah tidak dapat berlaku.
Gejala kepada leukemia jenis ini pula boleh dilihat dengan inflimasi kulit pada bahagian belakang badan, lengan, leher, muka dan punggung serta pembesaran limpa dan hati.
Penyakit leukemia jenis ketiga pula ialah leukemia promielositik akut dan disebabkan oleh berlakunya pertukaran kedudukan gen pada kromosom yang mengawal perkembangan sel darah putih.
Tanda kepada leukemia jenis ini dapat dilihat pada pesakit yang mengalami gejala seperti keletihan, jangkitan ringan dan kecenderungan berlaku pendarahan.
Seterusnya leukemia mieloid kronik. Diberikan nama kronik kerana gejala atau tanda penyakit mengambil masa agak lama untuk muncul serta tidak agresif seperti leukemia akut.
Gejala leukemia kronik sama seperti gejala leukemia akut termasuklah pembesaran pada nodus limfa, limpa dan hati.
Terakhir, leukemia limfositik kronik, iaitu sejenis kanser darah dan sumsum tulang yang bermula dari sel-sel darah putih dalam sumsum tulang yang kemudiannya menyerang darah.
Penulis menyatakan bahawa leukemia limfositik kronik berkembang lebih perlahan berbanding dengan limfoblastik akut dan pesakit mungkin tidak mengalami sebarang gejala sehingga pada peringkat akhir penyakit ini.
Rawatan penyakit leukemia?
Penulis menyenaraikan beberapa rawatan, namun tetap tertakluk kepada beberapa perkara misalnya jenis leukemia sama ada akut atau kronik serta mieloid atau limfoid dan faktor usia pesakit.
Antara lain, pilihan rawatan kepada penyakit leukemia adalah rawatan kemoterapi, terapi radiasi, pemindahan sel induk, terapi sokongan kepada keperluan badan sama ada sel-sel darah atau nutrien dan rawatan susulan untuk memantau keadaan pesakit.
Tinjauan umum dan rekomendasi
Secara keseluruhannya, buku setebal 120 muka surat ini merupakan buku yang menarik untuk dibaca oleh semua lapisan umur kerana banyak mendedahkan maklumat penting mengenai penyakit leukemia.
Kandungan dalam buku ini juga padat dengan jawapan yang ingin kita ketahui mengenai penyakit leukemia misalnya jenis-jenis penyakit leukemia, punca, gejala dan kaedah rawatan yang diperlukan.
Rajah dan ilustrasi yang disertakan turut membuatkan pembaca lebih memahami apa yang dijelaskan oleh penulis, sekali gus menjadikan buku ini lebih seronok untuk dibaca lebih-lebih lagi bagi golongan muda.
Gaya bahasa yang digunakan oleh penulis juga mudah untuk difahami dan turut menyelitkan ruangan glosari di akhir muka surat bagi memudahkan pembaca memahami definisi yang diselitkan dalam penulisannya.
Akhir sekali, buku yang mengandungi tujuh bab secara keseluruhannya ini disusun dengan baik sekali gus memberikan pencera,han yang lebih jelas kepada pembaca daripada awal berkaitan leukemia, cara atau kaedah rawatan serta jenis-jenis penyakit leukemia



