PENYANYI Amir Masdi mengakui kesibukan dalam kerjaya seni menjadi antara faktor utama hasratnya untuk mendirikan rumah tangga sebelum usia 30 tahun sukar direalisasikan.
Menurut Amir, ibunya pernah menyuarakan harapan agar dia menamatkan zaman bujang apabila mencecah usia berkenaan.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Nurcinta itu menjangkakan impian tersebut mungkin tidak tercapai kerana dia masih belum menemui calon yang sesuai.
“Mak pernah cakap, kalau boleh, dia mahu saya berkahwin pada usia 30 tahun.
“Cuma nampaknya sasaran itu mungkin tidak sempat dicapai kerana sehingga kini saya masih belum mempunyai calon,” katanya.
Amir bagaimanapun menjelaskan keluarganya tidak pernah memberi tekanan atau mendesaknya untuk segera berkahwin.
Sebaliknya, keluarganya menyerahkan sepenuhnya soal jodoh kepada dirinya.
“Mak bukan jenis yang mendesak sehingga mahu mencarikan calon atau jodoh untuk saya. Keluarga saya bukan begitu.
“Mak kata, terpulang kepada saya. Kalau ada, adalah. Kalau belum ada, tunggu sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai statusnya yang masih solo, Amir berkata jadual kerja yang padat menyebabkan dia tidak mempunyai banyak masa untuk memberi perhatian kepada soal percintaan.
Menurutnya, tumpuan terhadap kerjaya membuatkan dia jarang memikirkan hubungan romantik, apatah lagi untuk mengenali seseorang dengan lebih rapat.
“Saya rasa memang betul, kesibukan kerja menyebabkan saya tidak terfikir untuk mengenali sesiapa.
“Fasa berbual atau keluar bersama-sama mana-mana wanita pun memang belum ada setakat ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amir mengakui dia juga kurang peka terhadap isyarat yang mungkin diberikan oleh wanita yang berminat untuk mengenalinya.
“Saya memang tidak pandai mengesan jika ada seseorang memberikan isyarat.
“Bagi saya, kalau suka, perlu beritahu secara terus,” katanya berseloroh.
Walaupun terbuka untuk mengenali sesiapa sahaja, Amir menegaskan proses tersebut perlu berlaku secara semula jadi dan bukan secara terburu-buru.
“Bukan bermaksud apabila seseorang mengatakan dia menyukai saya, saya akan terus menerimanya.
“Beritahu dahulu, kemudian barulah kami melalui fasa untuk saling mengenali,” katanya.
Ditanya mengenai ciri wanita idaman, Amir berkata dia tidak menetapkan syarat yang rumit dan tidak terlalu mementingkan faktor luaran.
Sebaliknya, perkara paling penting baginya ialah pasangan yang berperwatakan tenang serta mampu memberikan ketenangan dalam hubungan.
“Saya tidak kisah dia berasal dari mana kerana saya terbuka kepada sesiapa sahaja.
“Cuma, perkara paling penting ialah saya menyukai wanita yang tenang,” ujarnya.
Buat masa ini, Amir memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perjalanan kerjaya seninya yang semakin berkembang.
Soal jodoh pula diserahkan kepada ketentuan Tuhan kerana dia percaya setiap perkara mempunyai waktunya yang tersendiri.



