KUCHING: Mengamuk gara-gara merosakkan harta benda milik bapa angkatnya hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM250 membawa padah apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap seorang penganggur lelaki.
Tertuduh Izzarudin Parno, 37, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan satu unit kerusi plastik dan sebuah meja makan milik mangsa berusia 62 tahun hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM250.
Dia melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Kampung Matang, Jalan Matang, kira-kira jam 8.20 malam, 24 April lepas.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, anak angkat pengadu mengamuk ketika kejadian lalu merosakkan sebuah meja makan dan seunit kerusi plastik yang diletakkan di hadapan rumah.
Punca kejadian, kerana pengadu tidak membenarkan tertuduh menggunakan motosikal miliknya.
Bimbang akan keselamatan diri, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh dua hari selepas kejadian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



