ARTIKEL

Gambar hiasan

Anak dunia digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

GENERASI Z (Gen-Z) lahir pertengahan 1990-an hingga awal 2010-an — generasi pertama yang membesar dengan akses teknologi digital dan Internet sejak lahir.

Dalam dunia yang pantas berubah, Gen-Z bergelumang dalam dunia teknologi tanpa perlu menekuni untuk menguasainya sebagaimana generasi terdahulu.

Mereka membesar dengan telefon pintar, media sosial dan aplikasi digital yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.

Justeru, jika kita meminta Gen-Z mengisi atau mendaftar borang secara dalam talian, ia merupakan hal enteng bagi mereka berbanding orang tua mereka yang mungin terkial-kial melakukan hal yang sama.

Kefahaman intuitif ini membenarkan Gen-Z menyesuaikan diri dengan pantas bersama teknologi baharu, menjadikan mereka pengguna teknologi yang cekap dan inovatif.

Kelebihan terbesar Gen-Z ialah keupayaan mereka menghasilkan kandungan digital yang kreatif.

Mereka dikatakan bukan sekadar pengguna, tetapi juga pencipta — daripada menghasilkan video di TikTok dan YouTube hingga membina platform perniagaan melalui media sosial.

Kemahiran ini memberi mereka peluang mencipta kerjaya baharu yang tidak wujud sebelum ini, seperti menjadi pempengaruh atau pencipta konten.

Gen-Z menggunakan media digital tidak sekadar untuk hiburan, tetapi juga untuk menyuarakan isu sosial.

DOMINAN

Mereka menggunakan platform seperti Twitter, Instagram, dan TikTok untuk berkongsi pandangan, menyebarkan maklumat dan mencetuskan perubahan sosial, menjadikan mereka agen perubahan yang dominan dalam era digital.

Tidak janggal melihat Gen-Z dengan keupayaan pelbagai kemahiran — misalnya menonton video sambil berbual di aplikasi pesanan, memeriksa e-mel dan menjalankan tugas lain serentak.

Gen-Z mempunyai potensi besar menjadi pemimpin dalam ekonomi digital global.

Banyak anak muda generasi ini berjaya mendirikan perniagaan digital seperti e-dagang, pemasaran digital dan pembangunan aplikasi.

Gen-Z juga berpotensi merombak sistem pendidikan tradisional melalui inovasi teknologi dengan cenderung dalam pembelajaran kendiri melalui platform seperti YouTube dan aplikasi pendidikan lain.

Mereka juga mampu mencipta teknologi pendidikan yang menjadikan pembelajaran lebih menarik dan interaktif.

Dalam dunia yang semakin berhubung, Gen-Z menjadi pemangkin kepada perubahan sosial global.

 Di dunia maju, Gen-Z menggunakan alat digital untuk meningkatkan kesedaran tentang isu kritikal seperti perubahan iklim, keadilan sosial dan hak asasi manusia.

Melalui kempen dalam talian, Gen-Z membuktikan mereka boleh memberi impak ke atas keputusan politik dan sosial.

KREATIF

Dalam era digital yang penuh cabaran, Gen-Z berpotensi menyelesaikan masalah global dengan pendekatan kreatif.

Kemahiran mereka menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data dan blockchain memberi mereka kelebihan mencari penyelesaian inovatif ke atas krisis kesihatan, ketidaksamaan ekonomi dan kekurangan sumber daya.

Namun, sebagaimana hal lain di dunia ini, bergerak selari dengan kebaikan itu terdapat kelemahan yng turut menjadi ujian kepada Gen-Z; seperti cabaran pada ketagihan media sosial, tekanan psikologi akibat budaya digital dan risiko keselamatan siber.

Ketagihan ini boleh menyebabkan penurunan produktiviti yang menyebabkan mereka cenderung menghabiskan terlalu banyak masa dengan aplikasi seperti TikTok, Instagram dan Twitter sehingga mengganggu tugasan penting.

Situasi ini dapat memberi kesan ke atas isu psikologi sehingga ketagihan media sosial sering dikaitkan dengan kebimbangan, tekanan dan kemurungan akibat perbandingan sosial yang berterusan dengan orang lain.

Akhirnya dunia digital yang penuh tekanan dan pantas dapat memberi kesan buruk kepada kesihatan mental Gen- Z; seperti lahirnya kesan fear of missing out (fomo).

Perasaan takut tertinggal atau tidak mengikuti trend semasa di media sosial boleh menyebabkan tekanan emosi serta tekanan siber termasuk buli siber, komen negatif atau gangguan dalam talian, yang boleh menjejaskan harga diri dan keyakinan.

Dalam hal lain, Gen-Z yang banyak menatap skrin komputer atau telefon pintar menyebabkan mereka kurang mahir dalam interaksi langsung termasuk membaca bahasa tubuh atau menangani konflik bersemuka.

CABARAN

Sehinggakan dalam dunia profesional, dalam situasi yang memerlukan pertemuan fizikal atau komunikasi formal, Gen-Z mungkin menghadapi cabaran.

Risiko lain dihadapi Gen-Z ialah masalah privasi dan keselamatan siber yang membawa kepada pencurian identiti dan data peribadi boleh dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam hal lain, Gen-Z sering mengutamakan dunia maya sehingga mengabaikan dunia nyata, yang boleh menyebabkan hubungan sosial rapuh.

Mereka mungkin kurang menghabiskan masa berkualiti dengan keluarga dan rakan secara fizikal. Ketergantungan mereka dengan dunia maya seperti menggantikan pengalaman hidup sebenar, menjadikan mereka terasing secara fizikal.

Ketergantungan Gen-Z dengan teknologi berlebihan menyebabkan mereka kehilangan kemahiran asas sehingga jika sistem atau aplikasi rosak, mereka mungkin sukar menyesuaikan diri.

Penting bagi generasi ini belajar mengimbangi penggunaan teknologi dengan kesihatan mental dan sosial mereka.

Justeru, Gen-Z perlu berhatihati dengan maklumat yang tidak ditapis dan trend penyebaran maklumat palsu dan kandungan toksik di media sosial.

BERITA LAIN

Siapa berundur, siapa diundur?

SETIAP kali menjelang pilihan raya, ada satu pertanyaan yang berlegar-legar dalam fikiran wakil rakyat: “Adakah nama saya masih dalam senarai?” Bagi rakyat dan pengundi di

Deepfake dan demokrasi

DEMOKRASI dibina atas satu asas yang paling penting, iaitu kepercayaan. Rakyat perlu mempercayai bahawa maklumat yang diterima adalah benar, proses pilihan raya berlangsung secara adil,

BERITA TERBARU