ARTIKEL

ANGGOTA KOR SISPA menjalani latihan renang sebagai persediaan operasi menyelamat.

Anak muda perlu ilmu penyelamatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ARIQA HIQQUANNIE (PELATIH UNIMAS)

Dalam sekelip mata, seseorang boleh tercekik makanan, pengsan secara tiba-tiba atau terlibat dalam kemalangan. Dalam detik genting seperti ini, satu tindakan pantas mampu menjadi penentu antara hidup dengan mati.

Namun, tidak semua orang bersedia. Bagi pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Nabilah Huda, 23, pengalaman menyertai Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) membuka matanya tentang kepentingan ilmu penyelamatan yang sering dipandang remeh oleh masyarakat.

Pada awalnya, ia sekadar minat untuk mencuba, namun akhirnya menjadi satu perjalanan yang membentuk dirinya menjadi lebih berani, berdisiplin dan peka terhadap tanggungjawab sekeliling.

“Dahulu, saya tidak mengetahui betapa pentingnya kemahiran seperti Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), tetapi apabila mempelajarinya, saya sedar ilmu ini boleh menyelamatkan nyawa,” kata Nabilah kepada Suara Sarawak.

Menurut Nabilah, latihan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bukan sesuatu yang mudah.

ANGGOTA KOR SISPA UNIMAS selepas tamat latihan.

Antara cabaran paling diingati ialah latihan kawad berjam-jam di bawah panas terik matahari yang menuntut fokus tinggi, disiplin serta ketahanan fizikal.

“Kadang-kadang memang penat sehingga rasa ingin berhenti, tetapi apabila melihat rakan-rakan lain teruskan, kita menjadi lebih kuat,” ujarnya.

Katanya, setiap latihan bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, malah melatih mental untuk kekal tenang dalam tekanan.

“Latihan ini mengajar saya supaya tidak mudah panik dan sentiasa bersedia walaupun dalam situasi mencabar,” katanya.

Pengalaman tersebut secara tidak langsung membentuk dirinya menjadi lebih tabah dan yakin dalam menghadapi cabaran.

Tambah Nabilah, sebagai seorang pelajar, beliau mengakui perlu berdepan cabaran dalam mengimbangi komitmen akademik dan latihan.

Beliau terpaksa mengorbankan cuti semester demi mengikuti latihan yang dijalankan di kampus.

“Memang berasa sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung seperti rakan lain, tetapi saya tahu pengalaman ini sangat berharga,” ujarnya.

KEMAHIRAN … Anggota KOR SISPA UNIMAS ketika mempelajari teknik penggunaan gergaji berantai semasa latihan APM.

Namun, Nabilah melihat pengorbanan itu sebagai satu peluang yang tidak ternilai.

“Bukan semua orang berpeluang mempelajari ilmu seperti ini secara praktikal.

“Jadi, saya menghargai setiap pengalaman yang saya peroleh,” katanya sambil tersenyum.

Antara pengalaman paling memberi kesan kepada Nabilah ialah apabila beliau terlibat membantu mangsa banjir.

Melihat sendiri keadaan mangsa serta usaha anggota APM di lapangan membuka matanya tentang realiti sebenar tugas penyelamat yang penuh cabaran dan pengorbanan.

“Saya nampak sendiri bagaimana mereka membantu memindahkan mangsa, mengurus bantuan dan memastikan semua selamat.

“Masa itu saya betul-betul tersentuh,” katanya.

Tambahnya, pengalaman tersebut membuatkan Nabilah lebih menghargai pengorbanan anggota penyelamat yang sentiasa bersedia berkhidmat tanpa mengira masa.

“Kerja ini bukan mudah, tetapi mereka tetap melaksanakannya demi orang lain. Dari situ saya sedar tanggungjawab ini sangat besar,” jelas Nabilah.

Dalam pada itu, Nabilah percaya golongan muda perlu lebih terbuka untuk mempelajari ilmu penyelamatan kerana kemahiran tersebut boleh digunakan pada bila-bila masa.

Menurutnya, kecemasan boleh berlaku tanpa diduga dan sesiapa sahaja boleh menjadi individu pertama di tempat kejadian.

“Kalau kita ada ilmu, sekurang-kurangnya kita tidak panik dan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

HUDA (tengah) mendengar taklimat pemindahan mangsa banjir.

Bagi Nabilah, pengalaman bersama KOR SISPA bukan sekadar latihan, tetapi satu proses pembelajaran yang mengubah cara beliau melihat kehidupan.

“Walaupun nampak kecil, ilmu ini sebenarnya sangat penting dan boleh memberi impak besar kepada nyawa seseorang,” ujarnya.

Nabilah menyeru agar lebih ramai anak muda mengambil peluang untuk mempelajari kemahiran asas pertolongan cemas sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Hakikatnya, kecemasan tidak memilih masa dan tempat.

Dalam dunia yang penuh ketidakpastian ini, ilmu penyelamatan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.

Kadangkala, ilmu yang dianggap kecil itulah yang mampu menyelamatkan nyawa.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU