BEBERAPA hari lalu diumumkan keputusan permohonan kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG).
Tahniah kepada anak-anak yang berjaya.
Rezeki telah terbentang menjadi seorang pendidik, sedangkan ramai yang memohon.
Mungkin rezeki dalam bidang lain dan ada rancangan Sang Pencipta yang lebih baik untuk anda.
InsyaAllah.
Sesungguhnya, Islam mengajar kita supaya yakin bahawa rezeki telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali. Islam juga menganjurkan kita agar sentiasa mencari rezeki secara halal dengan penuh tawakal.
Tidak gelisah atau iri hati kerana rezeki setiap orang berbeza, tetapi cukup.
Maknanya, rezeki Yang Maha Esa itu luas. Biarpun mendapat peluang masuk ke IPG itu ibarat selangkah telah berada di alam pekerjaan yang diidamkan banyak orang, percaya bidang lain tidak kurang hebatnya.
Bergelar guru hari ini berhadapan cabaran besar kerana dipengaruhi oleh teknologi, masyarakat dan sistem pendidikan yang sentiasa berubah.
Ambil contoh pengaruh teknologi dan media sosial, anak-anak lebih terdedah kepada maklumat luar, yang bukan kesemuanya betul atau bermanfaat. Sehingga berlaku, pelajar lebih cepat bertanya kepada Google daripada bertanya kepada guru.
Wujud gangguan tumpuan dalam kelas kerana gajet, TikTok, YouTube, permainan video.
Sehubungan itu, guru perlu sentiasa menguasai kemahiran digital dan menyesuaikan pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Belum lagi bercakap soal tekanan, kemurungan, kurang keyakinan diri, beban kerja bukan pengajaran dan sebagainya.
Dengar sendiri rungutan guru, tentang tanggungjawab mereka yang bukan sahaja mengajar, tetapi turut menyiapkan dokumentasi, mengurus data pelajar, menghadiri mesyuarat, kursus dan aktiviti luar bilik darjah. Sehingga ada yang kata, kerja perkeranian melebihi kerja hakiki mengajar.
Tidak untuk menakutkan, kerana apa-apa jua cabaran pasti dapat dihadapi jika benar-benar dalam jiwa seseorang itu ada jiwa besar untuk bergelar seorang guru.
Sebab itu ada yang kata, guru masa kini bukan hanya pendidik, tetapi juga bergelar pendamping, pemudah cara, pemimpin emosi dan pendorong harapan.
Meskipun cabaran besar, peranan guru tetap mulia dan sangat penting dalam membentuk generasi masa depan.
Tahniah sekali lagi, semoga menjadi guru hebat suatu hari nanti.
Bukan hanya mengajar mata pelajaran, tetapi membentuk jiwa manusia.
Mereka yang mendidik dengan jiwa yang ikhlas dan raga yang bersemangat akan terus meninggalkan kesan dalam hidup murid-murid. Bukan sehari dua, tetapi seumur hidup.
Sementara bagi yang tidak layak ke IPG biarpun minat membara, pasti ada jalan lain.
Tidak hanya ke pendidikan atau menjadi guru, sektor lain cukup luas yang juga menawarkan pendapatan lumayan. Malah, ada yang lebih hebat.
Sekarang tumpuan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk melahirkan tenaga mahir yang diperlukan negara mahupun negeri. Saya percaya, pengembaraannya lebih menyeronokkan.
Di Sarawak, STEM bukan sekadar bidang, lebih jauh lagi, ia “masa depan” Bumi Kenyalang.
Anak Sarawak yang memilih STEM hari ini sedang melabur untuk masa depan yang stabil dan bergaji baik.
Melabur untuk peluang berkhidmat di tanah air sendiri.
Dan melabur untuk menjadi sebahagian daripada pembentukan Foto Freepix.com Sarawak moden yang berdaya saing global.
Bunyinya agak klise kerana menjadi guru pun sama.
Tetapi sebenarnya tidak sama, terutama dalam meneroka bidang ekonomi baharu.
Sebab itu, tahun hadapan Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan percuma di peringkat universiti yang dimiliki Kerajaan Sarawak terutama dalam bidang STEM. Hari ini Kerajaan Sarawak sedang giat membangunkan ekonomi berasaskan teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pendigitalan.
Projek seperti Ekonomi Hidrogen Sarawak, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan ekonomi digital memerlukan ramai pakar STEM.
Maka, anak tempatan yang mahir dalam bidang ini berpeluang mendapat pekerjaan baik tanpa perlu berhijrah ke luar.
Peluang cerah ini tertumpu kepada pekerjaan seperti jurutera sama ada elektrikal, mekanikal, awam atau sebagainya. Begitu juga pakar teknologi maklumat (IT) dan siber, saintis data dan kecerdasan buatan (AI) dan juruteknik industri.
Selain itu, tenaga mahir dalam bidang tenaga hijau seperti solar, hidro, hidrogen dan sebagainya. Justeru itu, peluangnya tidak terbatas.
Menurut kajian, gaji dalam bidang ini lebih tinggi daripada purata sektor lain, terutama bagi mereka yang mahir atau berkemahiran khas. Sehingga disebut sebagai masa depan kerjaya yang berdaya tahan.
STEM juga mempunyai peluang global dengan kebolehpasaran tinggi memandangkan ia sangat diperlukan di peringkat antarabangsa, bukan hanya di Sarawak atau Malaysia.
Graduan STEM dari Sarawak berpotensi bekerja di luar negara, atau secara remote dengan syarikat global terutama dalam bidang IT dan teknologi digital.
Bagi saya secara peribadi, inilah masanya anak-anak Sarawak menyumbang kepada pembangunan wilayah.
Anak Sarawak dalam bidang STEM boleh menjadi tulang belakang pembangunan untuk membina infrastruktur moden.
Selain itu, mencipta penyelesaian teknologi untuk kawasan luar bandar dan menyokong transformasi pendidikan serta kesihatan melalui inovasi. Kita sudah ada contoh anak Sarawak yang mencipta cip berteknologi tinggi. Seperti selalu disebut Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, jangan pandang rendah keupayaan dan kerja orang Sarawak.
Anak Sarawak juga bijak seperti orang lain! Beliau menggambarkan kejayaan membanggakan seorang anak jati Bumi Kenyalang yang kini mengetuai pembangunan cip semikonduktor berasaskan teknologi AI di United Kingdom.
Saintis muda dari Sarawak itu kini bekerja di sebuah makmal milik Kerajaan British di Cardiff, dan sedang memimpin usaha mereka bentuk cip berteknologi tinggi.
Mereka sedang membangunkan cip berteknologi tinggi yang mampu menyelesaikan isu tenaga dalam masa kurang 10 saat menggunakan AI.
“Saya sendiri telah melawat makmal itu. Kerajaan British kagum dengan kebolehan anak Sarawak kita ini.
Dia bukan sahaja mencipta cip berkuasa AI, malah cip itu boleh digunakan untuk menjana tenaga,” kata Abang Johari.
Pencapaian itu membuktikan rakyat Sarawak mempunyai potensi besar dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, sekiranya diberi latihan serta peluang sewajarnya.
Dan ia wajar menjadi inspirasi kepada anak-anak kita yang berada di bangku sekolah.
Semua kita boleh, ibarat peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Tepuk dada tanya selera. Sebab itu ketika ini, usaha memupuk nilai STEM harus dipergiatkan dan disokong oleh semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat sekeliling.
Rebutlah peluang untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Sarawak dalam mencapai status Sarawak moden dan maju.


