KUCHING: Anak Sarawak antara penerima terbanyak bagi Anugerah Benang Emas Hasanah (HGTA) 2024 dengan merangkul 11 daripada 18 anugerah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagi Anugerah Emas Hasanah (Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat) dimenangi oleh Adiguru Ngot Bi berusia 92 tahun.
Beliau juga memenangi Anugerah Tradisional Terbaik bagi kategori anyaman.
Menurut Yayasan Hasanah, Ngot turut diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Negara oleh Kraftangan Malaysia dan Living Legend oleh Kerajaan Sarawak.
“Anugerah Emas Hasanah ini untuk memberi penghormatan kepada individu yang telah membuat sumbangan besar kepada warisan tekstil negara,” katanya.
Selain itu, dua lagi anak Sarawak memperoleh dua anugerah tambahan iaitu Helen Manjan Atong, 66 dan Nor Haimah Mohammad, 22.
Mereka masing-masing memenangi Anugerah Emas Kelestarian dan Anugerah Pencapaian Belia.
Selain Anugerah Tradisional Anyaman, anak Sarawak turut memenangi Anugerah Menyungkit Tradisional Terbaik iaitu Dr June Ong, Ong Wan Fen dan Syamimi Razali.
Ong Wan Fen dan Syamimi Razali turut memenangi Anugerah Pengiktirafan Khas Menyungkit.
Manakala, bagi Anugerah Tradisional Ikat dan Anugerah Inovatif Lukisan dan Cap dimenangi oleh Ejah Jepon dan Michael Lim Tiang Aik.
Adiguru Salbiah Muhi pula muncul juara bagi kategori Sulaman dan Hiasan Tradisional, manakala Mohamad Zulkifli memenangi Anugerah Inovatif Sulaman dan Hiasan.
The Ranee x Biro Wanita Kerapa Spak dan The Ranee x Biro Wanita Rian Batang masing-masing menerima anugerah Inovatif Terbaik dan Pengiktirafan Khas bagi kategori anyaman.
Sehubungan itu, Juliana Embrose dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tradisional Terbaik Kerja Manik dan Ina Sendar memenangi Anugerah Pengiktirafan Khas Kerja Manik.
Sementara itu, Pahang muncul sebagai pemenang untuk tiga daripada 18 kategori anugerah diikuti oleh Terengganu yang memenangi dua anugerah dan Sabah serta Pulau Pinang masing-masing memperoleh satu anugerah.
Dalam pada itu, Yayasan Hasanah memberitahu, HGTA adalah sejajar dengan matlamat utama untuk menyemarakkan identiti nasional dengan menjadikan seni, warisan dan budaya Malaysia sebagai arus perdana.
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki memberitahu, edisi kedua HGTA ini menunjukkan dedikasi mereka untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya Malaysia, terutamanya tradisi tekstil yang pelbagai. Jelasnya, selain 18 anugerah yang disampaikan tahun lepas, tahun ini, pihaknya melancarkan dua anugerah tambahan baharu iaitu Emas Pencapaian Belia dan Kelestarian.
“Ini bagi meraikan kecemerlangan dalam ketukangan sambil mempromosikan identiti nasional yang menekankan peranan belia dan amalan lestari kami,” tambahnya.
Justeru, dalam tempoh dua tahun penubuhannya, HGTA membuktikan ia menjadi segmen utama agenda ke arah pemuliharaan mampan serta berdaya maju dalam sektor ekonomi kreatif.



