Buruk sangatkah masyarakat Dayak di Sarawak hingga tidak tahu mana yang buruk, mana yang baik untuk mereka? Mungkin tajuk ini agak keterlaluan, namun ia realiti yang berlaku hari ini.
Ketika masyarakat Dayak meraikan Gawai Dayak dan masyarakat Islam menyambut Aidilfitri, terdapat kelompok yang meraikan ‘fitnah dan hasutan’ sambil berdoa berlaku perpecahan dalam kalangan rakyat negeri ini’.
Lengkap menyiarkan gambar dari negara luar menunjukkan keadaan jalannya teruk dengan kapsyen kononnya, berlaku di Kapit.
Tidak puas hati selepas penipuannya didedahkan, pemilik akaun enggan memohon maaf, bahkan terus menyindir dengan menyiarkan gambar jalan balak, juga di pedalaman Sarawak memaparkan pembangunan negeri yang tidak menyeluruh.
Ironinya, mereka tidak berada di sana pun, sambil melabelkan betapa kawasan Dayak diabaikan.
Media sosial untuk pengguna Sarawak sejak 9 Mei tahun lalu dihujani elemen fitnah dan disebar bara kebencian.
Penghasut yang turut menggunakan akaun palsu menafsir masyarakat Dayak di negeri ini mundur, miskin dan hina.
Realiti sebenar, ia mainan politik pihak tertentu untuk menjuarai masyarakat Dayak.
Lebih menarik, pemilik akaun yang membuat tuduhan ini adalah kalangan mereka yang menggunakan akaun dengan nama Cina.
Dilaga-lagakan pula masyarakat Dayak ini dengan pemimpin Melayu-Melanau yang dikatakan mewah dan hidup selesa, manakala Dayak di luar bandar dan pedalaman hidup terseksa serta tertekan.
Anehnya, kemewahan peniaga Cina tidak pula dipaparkan.
Hasutan berunsur perkauman seperti ini amat berbahaya boleh mengundang petaka.
Petakanya ialah rakyat Bumiputera di negeri ini yang hidup rukun damai dan harmoni, mula dipalit syak-wasangka.
Malah gelaran ‘adik- beradik’, ‘Satu Malaysia’ atau model ‘Perpaduan Malaysia’ yang pernah dikaitkan dengan negeri ini sebelum ini mula terancam dan terpokah.
Rakyat Sarawak harus sedar mainan halus kelompok netizen ‘komunis’ ini.
Mereka mahu rakyat negeri berantakan, pecah belah dan wujudnya suasana anarki, bagi menghalang negeri ini terus maju.
Mereka berusaha mewujudkan persekitaran skeptikal, seterusnya menghalang pembangunan fizikal berterusan berlangsung di negeri ini.
Manusia berhati jijik seperti ini harus dikekang.
Tindakan tegas perlu diambil menghalang mereka menyebarkan serum komunisme ke dalam masyarakat kita.
Usah kerana dendam politik, keharmonian negeri ini menjadi mangsa.
Belajarlah daripada peristiwa 13 Mei 1969. Juga belajarlah daripada anarki di Indonesia, Mesir, Syria dan sebagainya.
Tiada pemenang dalam gejolak politik seperti ini.
Tindakan undang-undang jalan penyelesaian terbaik.
Malah netizen harus bersatu mengabaikan sentimen yang dimainkan oleh anasir ini. Usah di’like’ mahupun di’komen’. Biar ia berada dalam dunia halusinasinya sendiri.
Sebenarnya kelompok penghasut ini diupah pihak tertentu, dengan sesetengah daripada mereka mencipta berpuluh-puluh akaun palsu untuk beroperasi dan menjadi marak setiap kali pilihan raya semakin tiba.
Usahlah rakyat negeri ini mudah tertipu oleh dakyah tidak berasas ini.
Baik Melayu mahupun Dayak dan Cina, tidak semua hidup senang, dan tidak semua hidup susah. Kehidupan sederhana untuk semua kawasan dan kaum.
Belum ada yang mati kelaparan di negeri ini, dan belum ada yang ditindas terus.
Usah tertelan dakyah yang tidak benar, yang tujuannya adalah… politik. Benarlah kata pujang- ga, politik tidak menyelesaikan semua masalah, sebaliknya menambah masalah sedia ada.