ARTIKEL

PESAWAT Aer Lingus dari Dublin ke Rome dilencongkan dan diiringi jet tentera berikutan ancaman bom di Pangkalan Udara Evreux-Fauville pada 5 November 2026. AFP

Ancaman bom jejas 18 penerbangan komersial Eropah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 18 penerbangan komersial di seluruh Eropah dilaporkan menerima ancaman bom pada Khamis, menyebabkan beberapa pesawat terpaksa melakukan pendaratan cemas, mengubah laluan serta menjalani pemeriksaan keselamatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Insiden itu membabitkan beberapa syarikat penerbangan termasuk Ryanair, Wizz Air, LOT Polish Airlines, Finnair, JetTime, KLM dan Aer Lingus.

Di Perancis, sebuah pesawat Airbus A320 milik Aer Lingus yang dalam perjalanan dari Dublin ke Rom dilencongkan ke pangakalan udara di Evreux, Normandy, susulan ancaman bom.

Pesawat yang membawa 151 penumpang dan enam anak kapal itu mendarat dengan selamat sebelum diperiksa pasukan pemusnah bom tentera Perancis.

Di Itali, sebuah pesawat Finnair dari Helsinki ke Rom diiringi jet pejuang Tentera Udara Itali ke Lapangan Terbang Fiumicino susulan ancaman sama.

Pesawat itu mendarat dengan selamat dan menjalani pemeriksaan keselamatan, sementara lapangan terbang itu menggantung operasi penerbangan buat sementara waktu selama kira-kira 30 minit, menurut agensi berita Itali, ANSA.

Ancaman bom turut melibatkan dua penerbangan lain yang menuju ke Milan Malpensa, pesawat-pesawat itu tidak dilencongkan dan mendarat mengikut jadual, iaitu penerbangan Aegean Airlines yang berlepas dari Thessaloniki, Greece dan penerbangan Ryanair yang berlepas dari Porto, Portugal.

Satu lagi penerbangan Finnair dari Helsinki ke Vienna, yang dikendalikan oleh Jettime, turut menerima ancaman bom tetapi mendarat mengikut jadual.

Sementara itu, tiga penerbangan Ryanair menuju ke Sofia, Bulgaria turut menerima ancaman bom, menyebabkan Tentera Udara Bulgaria mengerahkan jet pejuang MiG-29.

Di Republik Czech, polis melaporkan ancaman bom membabitkan empat penerbangan menuju ke Prague, namun menilai ancaman itu sebagai kurang berasas dan tetap melaksanakan prosedur keselamatan.

Ancaman serupa turut dilaporkan membabitkan penerbangan di Austria, Romania, Belgium, Poland dan Denmark, dengan beberapa pesawat menjalani pemeriksaan keselamatan selepas mendarat.

Menurut laporan media Itali, satu e-mel ancaman yang dihantar ke Lapangan Terbang Fiumicino mendakwa bahan letupan diletakkan dalam dua penerbangan menuju ke Rom.

E-mel itu ditandatangani kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai “Fighters of the Male State”, yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan kandungan berunsur perkataan dan kebencian terhadap wanita.

Kumpulan itu menjadi tumpuan agensi keselamatan dan perisikan, serta disenaraikan oleh Rusia sebagai kumpulan pelampau dan pengganas yang diharamkan, lapor media Itali itu.

Laporan awal berhubung e-mel ancaman bom yang dihantar ke lapangan terbang di Itali itu akan dikemukakan kepada pihak pendakwa raya berkaitan.

Perkhidmatan Perisikan Romania (SRI) menyatakan bahawa dua lagi ancaman bom telah menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Henri Coanda di Bucharest, susulan insiden serupa yang berlaku lebih awal pada hari yang sama, menurut laporan media tempatan.-Bernama-Anadolu

BERITA LAIN

Australia bantu Indonesia padam kebakaran hutan

JAKARTA: Kerajaan Australia telah mengerahkan sebuah pesawat pengangkut tentera bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di Borneo yang menyebabkan jerebu beracun di seluruh rantau ini,

Trauma penderaan imej janaan AI

MELBOURNE: Kira-kira satu daripada 15 orang dewasa di Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AS) pernah mengalami penderaan berasaskan imej janaan kecerdasan buatan (AI), menurut satu

BERITA TERBARU

11 barangan harga terkawal sempena Deepavali

KUCHING: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan ditetapkan sebagai barangan harga terkawal menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 di Sarawak selama tujuh

Australia bantu Indonesia padam kebakaran hutan

JAKARTA: Kerajaan Australia telah mengerahkan sebuah pesawat pengangkut tentera bagi membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di Borneo yang menyebabkan jerebu beracun di seluruh rantau ini,