KUCHING: Ancaman rabies boleh dicegah 100 peratus dengan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada populasi anjing divaksinasi, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ia boleh mencegah jangkitan serta menghentikan kitaran penularan wabak rabies dalam kalangan manusia.
“Setakat ini, angka kumulatif vaksinasi antirabies oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) adalah 200, 378 daripada keseluruhan dijangka sekitar 250,000 populasi anjing di seluruh negeri ini.
“Dengan pengurusan yang lebih baik melalui tindak balas pantas perkhidmatan serta pengendalian kes gigitan bersepadu dan peningkatan vaksinasi rabies secara besar-besaran, ia akan mampu meliputi lebih daripada 70 peratus populasi anjing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian sempena sambutan Hari Rabies Sedunia 2021 yang berlangsung secara hibrid di sini, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak serius dalam usaha menghapuskan rabies dengan menyasarkan Sifar Rabies dalam Manusia pada 2022 dan Sifar Rabies dalam Anjing pada 2025.
“Ia termasuk menyediakan peruntukan, logistik dan kakitangan petugas yang diperlukan bagi memerangai wabak tersebut berjumlah RM7.07 juta pada tahun ini di bawah Pelan Tindakan Bagi Program Kawalan dan Pembasmian Rabies 2021 untuk pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan,” ujarnya.
Hadir sama Pengarah JPVS Dr Adrian Susin Ambud, Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Antonio Kahti Galis serta yang lain.