PELAKON terkenal Blood Brothers, Andy Teh mendedahkan bahawa beliau pernah menjalinkan hubungan cinta selama lima tahun dan hampir mendirikan rumah tangga, namun hubungan itu terhenti di tengah jalan.
Pelakon, usahawan dan atlet seni mempertahankan diri, Andy Teh Kim Kuat atau lebih dikenali sebagai Andy Teh, 39, mengakui terpaksa menerima takdir atas hubungan cintanya yang terputus di pertengahan jalan akibat tiada persefahaman dengan bekas pasangannya.
“Kami sudah bercinta hampir lima tahun dan sudah membuat persiapan untuk berkahwin, namun terpaksa memutuskan hubungan.
Dia bukan daripada industri seni, jadi agak sukar untuk memahami jadual dan tuntutan kerja saya,” ujarnya memetik portal berita.
Beliau turut berkata bahawa keputusan untuk berpisah bukanlah sesuatu yang mudah diterima, namun beliau terpaksa akur meskipun pahit untuk dilalui, sambil percaya bahawa jodoh tidak dapat dipaksa.
“Saya tidak boleh memaksanya jika kami tidak saling memahami dan saya percaya Tuhan sedang mengaturkan sesuatu yang terbaik, namun bukan pada masa ini,” katanya lagi.
Kisah peribadi Andy yang dikongsikan menerusi sebuah program audio siar telah menarik perhatian orang ramai, khususnya peminatnya yang rata-rata memberikan kata-kata semangat dan mendoakan yang terbaik untuknya agar dipertemukan dengan jodoh yang lebih baik dan memahaminya pada masa hadapan.



