KUCHING: Seorang pencuri dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana mencederakan seorang anggota polis hingga patah tangan dalam kejadian cuba melarikan diri ketika ditangkap bagi kes curi kabel.
Giveson, 26, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan cedera parah terhadap seorang anggota polis hingga menyebabkan patah tulang jari tengah dan tulang tapak tangan.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Sikog, Batu 14, Jalan Penrissen, sekitar jam 1.30 petang, 18 September lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 18 September lepas sekitar jam 1.30 petang, satu tangkapan terhadap tertuduh dilakukan oleh pengadu dan rakan setugasnya di Kampung Sikog berkaitan kes curi kabel yang dilaporkan pada 16 September lepas.
Semasa tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan antara mangsa dan tertuduh hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.
Pengadu kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ketika hendak ditangkap polis serta bertindak agresif.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, tertuduh dan seorang lagi rakan sejenayahnya dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan atas kesalahan cuba mencuri kabel di sebuah rumah di Kampung Sibatuh.
Giveson dan Paulus Well Dollah, 23, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 34 Kanun yang sama.
Mengikut pertuduhan, dia dan rakannya cuba mencuri kabel di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Sibatuh sekitar jam 2.40 petang, 16 September lepas.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin, manakala tertuduh dan rakannya tidak diwakili peguam.


