ARTIKEL

Anggota polis lepas, bebas tuduhan edar lebih 2 kg dadah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang anggota polis berpangkat koperal menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah 2.296 kilogram syabu dan memiliki ketamin, dua tahun lalu.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab dalam keputusan hari ini mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Bukhari Mohamad Rajuna, 42, pada akhir kes pendakwaan.

Beliau berpendapat pihak pendakwaan gagal memanggil beberapa saksi penting yang sering disebut semasa perbicaraan kes seperti seorang penerima bungkusan kurier dan dua rakan tertuduh yang berada di kawasan kejadian.

Selain daripada itu, Dr Alwi turut berpendapat bahawa Bukhari tidak mempunyai pengetahuan tentang dadah yang diletakkan dalam bungkusan kurier terbabit.

Oleh sebab itu, Mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Menurut kertas pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung sampai mati.

Bagi pindaan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki kesan ketamine dan seterusnya didakwa mengikut Subseksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 12(3) Akta sama.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, dia melakukan kesalahan itu di hadapan kaunter penerimaan tetamu kondominium terletak di Jalan Datuk Tawi Sli, kira-kira jam 1 petang, 19 Januari 2021.

Seramai lapan saksi dipanggil dalam memberi keterangan kes sepanjang perbicaraan berlangsung.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronie Entili manakala tertuduh diwakili peguam Steven Beti dan Gerald Empaling Donald.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU