KOTA SAMARAHAN: Seorang anggota polis maut setelah motosikal ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di KM 11, Jalan Dato Mohd Musa, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.31 malam, mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bergerak lurus dari arah Batu 7, Kota Sentosa.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah berlanggar dengan sebuah kereta yang hendak menuju ke arah Bandar Riyal.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba.
“Manakala pemandu motokar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.