Anggota tentera dibicara semburit isteri

KUCHING: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meminta dibicarakan bagi tujuh pertuduhan berasingan melakukan semburit terhadap isterinya tahun lalu diarahkan dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan dua orang penjamin tempatan, semalam.

Tertuduh berusia 35 tahun dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu kes disebut semula pada 3 April depan.

Semalam, tertuduh telah mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang setiap satu boleh dikenakan penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, anggota terbabit telah melakukan kesalahan seksual diluar tabii terhadap isterinya yang juga berusia 35 tahun pada jam 1.15 pagi di rumah mereka di Sejijak Heights, Jalan Sejijak di sini pada 14 Mac 2019.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perkara yang sama kepada mangsa pada jam 1.15 pagi pada 8 Jun 2019.

Bagi pertuduhan ketiga tertuduh didakwa melakukan perkara yang sama pada mangsa jam 1.15 pagi pada 17 Jun 2019.

Untuk pertuduhan keempat, tertuduh juga didakwa melakukan hal berkenaan terhadap mangsa pada jam 1.15 pagi pada 14 April 2019.

Sekali lagi tertuduh telah melakukan perkara yang sama terhadap mangsa pada jam 1.16 pagi pada 23 April, 2019.

Untuk pertuduhan keenam, tertuduh didakwa berbuat perkara yang sama pada mangsa pada jam 1.30 pagi pada 3 Mei, 2019.

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh telah didakwa melakukan kes yang sama pada jam 1.15 pagi pada 17 Julai 2019.

Timbalan pendakwaraya Nadratun Naim Mohd Saini dan Daniel Ilham Kamaruddin hadir bagi pihak pendakwaan sementara tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Mohd Hazmi.

Suara Sarawak