Kecil-kecil cili padi, peribahasa yang sesuai menggambarkan Anggrek Adnan, 9, anak kepada penyanyi popular Adira Suhaimi dan ahli perniagaan Datuk Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, apabila sekali lagi berjaya menggegarkan pentas Talk To My Manager 2 (TTMM2) di peringkat suku akhir.
Persembahan Anggrek di pentas suku akhir menggabungkan dua lagu yang menampilkan elemen muzik tradisional, iaitu Cak Cak Cekuk dan Sayang Kinabalu.
Namun begitu, beliau hampir tersingkir, namun berjaya diselamatkan oleh salah seorang juri, Che Puan Sarimah Ibrahim, yang melihat potensi besar dalam dirinya.
“Kalau kita lihat persembahannya setakat ini, ia sangat bagus. Untuk kanakkanak seusianya, dia melakukan sesuatu yang sangat baik.
“Saya rasa dia masih layak diberikan peluang untuk terus menunjukkan bakatnya,” katanya ketika ditemui selepas program TTMM2 berakhir.
Menariknya, persembahan Anggrek kali ini turut menampilkan ibunya, Adira Suhaimi, yang mengenakan busana tradisional.
Anggrek sebelum ini turut menyerlahkan bakatnya apabila berjaya menggegarkan pentas TTMM2 pada minggu keenam menerusi persembahan bersama-sama MimiFly yang membawakan lagu Temberang.
Persembahan tersebut mencetuskan fenomena dan meraih tepukan gemuruh daripada juri serta penonton.
Persembahan Anggrek sentiasa menjadi perhatian penonton, khususnya warga maya yang mengikuti dan menyokong perjalanannya dalam TTMM2.
Pada masa sama, penyanyi asal lagu Cak Cak Cekuk, Wani Kayrie, turut memberikan sokongan serta pujian terhadap persembahan Anggrek menerusi media sosialnya.
“Suka sangat konsep Cak Cak Cekuk digabungkan dengan tradisi Sabah. Terbaik adik Anggrek dan Kak Adira untuk persembahan yang bertenaga ini,” tulisnya dalam hantaran yang dimuat naik di akaun Threads miliknya.



