KUCHING: Anggun FC menutup kempen Piala FBU Empat Penjuru 2026 dengan rekod sempurna tanpa kalah selepas memenangi kesemua tiga perlawanan untuk muncul juara di Cascara Arena, di sini, Sabtu.
Anggun FC memulakan saingan dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Lipak Edu sebelum menewaskan FBU FC Senior 2-0 dan mengakhiri kempen dengan kemenangan 6-2 ke atas FBU FC Veteran.

Ketua pasukan Anggun FC, Zulhazzi Zubir berkata, kejayaan itu hasil kerja keras, semangat juang tinggi dan kerjasama erat seluruh pemain sepanjang kejohanan.
“Saya sangat berpuas hati dengan usaha rakan sepasukan yang bertungkus-lumus di atas padang.
“Mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi dan kerjasama yang sangat baik.
“Mentaliti juara yang ditunjukkan juga luar biasa.
“Mereka tidak pernah mengalah walaupun ditekan hebat sejak minit pertama,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.
Menurutnya, antara kunci utama kejayaan Anggun FC ialah sikap tidak mudah menyerah sehingga wisel penamat.

“Pemain perlu mempunyai semangat juang yang tinggi sampai tamat perlawanan.
“Walaupun ketinggalan atau berada dalam tekanan, kita tidak boleh mudah mengalah.
“Itulah mentaliti yang kita mahu kekalkan dalam pasukan,” katanya.
Zulhazzi turut merakamkan penghargaan kepada Koie Transport atas sokongan dan sumbangan kepada pasukan sepanjang persediaan serta kejohanan.
“Sokongan penaja amat bermakna dan menjadi pembakar semangat untuk kami terus melangkah serta mencatat kejayaan dalam kejohanan kompetitif lain selepas ini,” katanya.

Kejayaan Anggun FC turut dilengkapkan dengan dua anugerah individu apabila Muhammad Ramzi dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik, manakala Zainudin Razali muncul penjaring terbanyak kejohanan.
Anggun FC kini merancang untuk meneruskan penyertaan dalam kejohanan berskala kecil dan liga kompetitif lain sebagai sebahagian usaha mengekalkan momentum serta memberi lebih banyak pengalaman kepada pemain.
Semua pasukan yang menamatkan saingan dari tempat pertama hingga keempat menerima piala, manakala Anggun FC membawa pulang trofi kejuaraan.
Kejohanan yang dianjurkan FBU FC buat julung kalinya itu menggunakan format liga satu pusingan, membabitkan empat pasukan yang berentap secara semua lawan semua dengan keseluruhan enam perlawanan berlangsung dalam tempoh kira-kira empat jam.






