ARTIKEL

Angkat martabat wanita berkahwin

KALSUM MOHAMMADIN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pentas Mrs Global 2026 sekali lagi membuktikan perkahwinan, keibuan dan tanggungjawab terhadap keluarga bukan penghalang bagi seseorang wanita mengejar impian sehingga berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa.

Berlangsung selama lima hari di Kuala Lumpur baru-baru ini, edisi keempat pertandingan berprestij itu menghimpunkan 25 peserta dari pelbagai negara yang bersaing dalam beberapa kategori, termasuk Mrs Global Asian, Mister Global Asian, Mrs Petite Global dan Mrs Global.

Lebih daripada sekadar pertandingan ratu cantik, platform tersebut terus menggalas misi memperkasakan wanita yang berkahwin, golongan ibu, ibu tunggal serta wanita yang pernah melalui pengalaman perceraian agar mereka diberi ruang untuk menyerlahkan potensi, berkongsi inspirasi dan diraikan atas kekuatan yang dimiliki.

Kemuncak pertandingan menyaksikan wakil Malaysia, Eljosh Briones Caday dinobatkan sebagai Mrs Global 2026, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Sementara itu, wakil Jepun, Mai Yonemochi, membawa pulang gelaran Mrs Classic Global 2026 selepas mempamerkan persembahan yang konsisten sepanjang pertandingan.

Kemenangan Eljosh menjadi antara detik paling bermakna dalam edisi kali ini apabila beliau berjaya menewaskan peserta dari pelbagai negara pada penampilan sulungnya di pertandingan bertaraf antarabangsa.

Pada usia 31 tahun, beliau bukan sahaja seorang suri rumah, malah turut bergelar jurulatih vokal dan ibu kepada seorang anak perempuan.

Perjalanan Eljosh ke pentas Mrs Global bermula apabila beliau menyertai pertandingan Srikandi Malaysia sebelum dinobatkan sebagai peserta berkahwin terbaik.

Kejayaan itu membuka laluan kepada beliau untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa dan akhirnya menghadiahkan gelaran paling berprestij kepada negara.

Sepanjang pertandingan, Eljosh mempamerkan disiplin yang tinggi, keyakinan diri serta komitmen yang luar biasa dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan wanita bekerjaya.

Persembahan cemerlangnya turut membolehkan beliau membolot beberapa anugerah khas, iaitu Best National Costume, Best in Sportswear, People’s Choice Award, Social Media Popular Award, Best in Evening Gown, Best Catwalk Award.

Kejayaan tersebut bukan sekadar kemenangan peribadi, malah menjadi simbol bahawa wanita yang memikul pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan masih mampu mencapai kejayaan besar apabila diberikan peluang, sokongan serta platform yang sesuai.

Turut mencuri perhatian ialah kemenangan Mai Yonemochi yang dinobatkan sebagai Mrs Classic Global 2026. Pada usia 40 tahun, beliau membuktikan usia bukan batasan untuk terus berkembang dan mengejar impian.

Mai, yang bekerja sebagai penyambut tetamu di salon kecantikan serta menguruskan media sosial, tampil penuh anggun dan yakin sepanjang pertandingan, sekali gus melambangkan kekuatan wanita matang yang berjaya mengimbangi kerjaya dengan kehidupan berkeluarga.

Menurut pengasas Leading Management, Leo Raynold, Mrs Global diwujudkan sebagai platform mengiktiraf wanita yang sering mengutamakan keperluan keluarga dan masyarakat, namun masih mempunyai impian serta cita-cita yang ingin direalisasikan.

“Mrs Global diwujudkan untuk mengingatkan wanita impian mereka tidak berakhir apabila mereka berkahwin, bergelar ibu atau meningkat usia. Setiap wanita berhak diraikan atas perjalanan hidup, pengorbanan dan kekuatan yang mereka miliki,” katanya kepada Suara Sarawak.

Platform yang sebelum ini dikenali sebagai Mrs Global Asian melalui proses penjenamaan semula sejak dua tahun lalu bagi mencerminkan hala tuju yang lebih luas di peringkat antarabangsa.

Kini memasuki tahun keempat penganjuran, Mrs Global terus berkembang sebagai antara platform yang memberi penekanan terhadap pembangunan keyakinan diri, kepimpinan serta advokasi wanita daripada pelbagai latar belakang.

Berasal dari Sarawak, Leo telah berkecimpung dalam industri pertandingan ratu cantik selama lapan tahun.

Melalui Leading Management, beliau berjaya membangunkan beberapa pertandingan bertaraf antarabangsa yang memberi peluang kepada peserta untuk mengetengahkan bakat, personaliti serta memperjuangkan mesej dan advokasi masing-masing.

Bagi pihak penganjur, kejayaan Mrs Global tidak diukur semata-mata berdasarkan pemilihan ratu cantik, sebaliknya melalui impak yang dibawa kepada para peserta.

“Ramai dalam kalangan mereka hadir dengan kisah kehidupan yang penuh cabaran, namun berjaya bangkit menjadi individu yang lebih yakin, berani dan mampu memberi inspirasi kepada wanita lain.

“Seiring dengan perkembangan pertandingan di peringkat global, Leading Management berhasrat untuk terus memperluas penyertaan dari lebih banyak negara pada masa hadapan,” jelasnya lagi.

Penganjur juga komited menyediakan platform yang lebih inklusif bagi memastikan wanita berkahwin, ibu, ibu tunggal dan wanita matang terus mempunyai ruang untuk mengembangkan potensi diri serta membina jaringan persahabatan merentas budaya.

Kejayaan penganjuran Mrs Global 2026 sekali lagi membuktikan pertandingan ratu cantik moden kini membawa dimensi yang jauh lebih besar daripada sekadar penampilan fizikal. 

Acara ini menjadi medan untuk meraikan keberanian, ketabahan, kepimpinan dan semangat wanita dalam mengimbangi pelbagai tanggungjawab kehidupan, sekali gus membuktikan impian tidak pernah mengenal usia atau status kehidupan.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU