ARTIKEL

Anime bukan sekadar hiburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Anime semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda, dan menjadi antara bentuk hiburan yang digemari oleh pelbagai peringkat usia.

Dengan kepelbagaian genre, anime bukan sahaja menghiburkan, malah mampu menyampaikan pelbagai nilai seperti persahabatan, keberanian, pengorbanan dan semangat mengejar impian.

Sesetengah peminat menzahirkan minat terhadap anime menerusi pelbagai aktiviti, termasuk mengumpul barangan koleksi, membaca manga dan menyertai peragaan kostum atau cosplay.

 Suara Sarawak berpeluang menemu bual peminat anime, Awang Adrie Daniel Awang Jumaat @ Abd Rosman, 22, bagi berkongsi pengalaman serta pandangannya mengenai karya animasi dari Jepun itu.

Ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang anda?

Nama saya Awang Adrie Daniel Awang Jumaat @ Abd Rosman. Saya berusia 22 tahun dan berasal dari Sabah. Kini, saya sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bagaimanakah anda mula mengenali anime dan apakah yang membuatkan anda terus meminatinya?

Saya mula mengenali anime sejak berusia lima tahun. Ketika kecil, saya sering menonton rancangan anime yang disiarkan di televisyen dan minat itu berterusan sehingga kini.

Saya meminati anime bukan semata-mata kerana wataknya, tetapi juga disebabkan jalan ceritanya yang menarik dan mudah difahami. Saya turut memperoleh banyak pengajaran mengenai kehidupan daripada anime yang ditonton.

Anime apakah yang paling memberikan kesan kepada anda dan mengapa?

Pada pendapat saya, Naruto merupakan anime yang paling memberikan kesan kepada diri saya. Saya tertarik dengan sifat watak utamanya yang tidak pernah berputus asa dalam mengejar impian sejak kecil, walaupun sering dipandang rendah oleh orang lain.

Saya juga meminati Black Clover kerana anime itu menemani saya ketika tempoh pandemik COVID-19. Selain jalan ceritanya yang menarik, anime berkenaan juga menghiburkan dan menyeronokkan untuk ditonton.

Pernahkah anda menyertai aktiviti berkaitan anime seperti peragaan kostum atau mengumpul barangan koleksi?

Saya belum pernah menyertai aktiviti peragaan kostum atau cosplay, tetapi mempunyai beberapa figura watak anime yang disimpan sebagai koleksi.

Antaranya ialah figura Tanjiro daripada Demon Slayer, Naruto serta Goku daripada Dragon Ball.

Saya juga mempunyai koleksi manga seperti Demon Slayer, Black Clover dan Jujutsu Kaisen. Bagaimanapun, saya lebih gemar menonton anime berbanding membaca manga.

Menonton anime memberikan pengalaman yang berbeza kerana pergerakan, kesan visual dan animasinya menjadikan jalan cerita lebih menarik, berbanding manga yang kebanyakannya dipersembahkan dalam bentuk ilustrasi hitam putih.

Apakah nilai atau pengajaran penting yang anda peroleh daripada anime?

Antara pengajaran utama yang saya peroleh ialah kita perlu sentiasa berusaha untuk mencapai impian dan cita-cita.

Kita juga tidak seharusnya mudah berputus asa dalam mendapatkan sesuatu yang diinginkan. Pada masa sama, kita hendaklah menghargai individu yang telah banyak berkorban untuk kita, terutama ibu bapa.

Bagaimanakah anime mempengaruhi minat, kreativiti atau cara anda melihat sesuatu perkara?

Anime membuka minat saya terhadap perkara yang tidak pernah saya fikirkan sebelum ini. Sebagai contoh, selepas menonton Haikyuu!!, saya mula berminat untuk bermain bola tampar walaupun sebelum itu saya tidak pernah mencuba sukan berkenaan.

Anime juga mengubah perspektif saya terhadap isu yang lebih berat. Sebagai contoh, filem A Silent Voice membuatkan saya lebih berempati terhadap mangsa buli dan orang kurang upaya.

Watak anime manakah yang paling anda kagumi dan apakah cirinya yang menarik perhatian anda?

Watak yang paling saya kagumi ialah Asta daripada anime Black Clover. Asta dilahirkan tanpa kuasa dalam dunia yang hampir semua penduduknya memiliki kuasa sihir.

Walaupun sering dipandang rendah, dia tidak pernah mengalah. Sebaliknya, dia berusaha meningkatkan kekuatan menerusi latihan fizikal yang bersungguh-sungguh.

Setiap kali gagal atau terjatuh, dia akan bangkit dengan lebih kuat. Bagi saya, Asta membuktikan bahawa kekurangan bukanlah alasan untuk menyerah kalah.

Pada pendapat anda, apakah keistimewaan anime berbanding filem atau rancangan hiburan lain?

Keistimewaan anime terletak pada identitinya yang tersendiri. Anime mempunyai jalan cerita yang menarik dan berbeza daripada kebanyakan rancangan hiburan lain.

Kualiti animasi dan kesan visualnya juga mampu memberikan pengalaman yang berbeza berbanding karya aksi langsung.

Selain itu, sesebuah anime boleh menggabungkan pelbagai genre dalam satu jalan cerita. Kepelbagaian tersebut membuatkan saya tidak mudah berasa bosan ketika menontonnya.

Apakah pengalaman paling menarik yang anda lalui sebagai peminat anime?

Pengalaman paling menarik adalah ketika tempoh pandemik COVID-19. Pada masa itu, masyarakat diarahkan untuk berada di rumah bagi mengekang penularan wabak.

Keadaan tersebut memberikan saya lebih banyak masa untuk menonton pelbagai siri anime. Ada kalanya, saya berjaya menghabiskan satu musim anime dalam tempoh sehari.

Apakah pandangan anda terhadap persepsi bahawa anime hanya sesuai untuk kanak-kanak?

Saya tidak bersetuju dengan persepsi sesetengah masyarakat yang menganggap anime hanya sesuai untuk kanak-kanak.

Setiap individu mempunyai minat yang berbeza, sama ada dalam bidang muzik, sukan, makanan, fesyen atau hiburan. Oleh itu, kita tidak seharusnya memandang rendah minat orang lain.

Tidak semua anime dihasilkan untuk kanak-kanak kerana karya tersebut terdiri daripada pelbagai genre dan mempunyai sasaran penonton yang berbeza.

Apakah harapan anda terhadap perkembangan industri anime pada masa akan datang?

Saya berharap industri anime terus berkembang pesat, bukan sahaja di Jepun, malah di negara lain termasuk Malaysia.

Malaysia juga mempunyai karya animasi yang membanggakan seperti BoBoiBoy, Upin & Ipin dan Ejen Ali.

Saya berharap lebih banyak karya animasi berkualiti, menarik dan memukau dapat dihasilkan pada masa akan datang.

BERITA LAIN

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke

BERITA TERBARU

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat