SARIKEI: Projek Anjung Usahawan bernilai RM10 juta yang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi landskap bandar ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek itu merupakan satu lagi usaha kerajaan menerusi pelaksanaan pelan pembaharuan bandar secara menyeluruh dalam jangka panjang.

“Ini merupakan antara inisiatif yang dicetuskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi memperkukuhkan pelaksanaan pelan pembaharuan bandar di Sarikei agar seiring dengan kepesatan pembangunan negeri.
“Malah, projek ini akan diselaraskan dengan projek pembaharuan bandar yang sedang dirancang oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) bagi memastikan kedua-dua pembangunan itu saling melengkapi dari aspek perancangan, reka bentuk serta pembangunan infrastruktur,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Projek-Projek RADDA bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, termasuk Projek Anjung Usahawan Sarikei, di sini, semalam.
Beliau menjelaskan pendekatan itu merupakan sesuatu yang baharu bagi Sarikei kerana menggabungkan pembangunan komersial dengan pelan pembaharuan bandar secara menyeluruh.
“Penyelarasan ini diyakini mampu memberi impak positif terhadap pembangunan bandar untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata proses mendapatkan kelulusan tapak daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sedang giat dilaksanakan sebelum projek berkenaan memasuki fasa seterusnya.
“Sekiranya semua urusan berjalan mengikut perancangan, proses tender dijangka dapat dibuka sebelum penghujung tahun ini, sekali gus membolehkan kerja-kerja pembinaan dimulakan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Tempoh pelaksanaan projek dianggarkan mengambil masa antara 24 hingga 30 bulan sebelum dapat disiapkan sepenuhnya untuk dimanfaatkan oleh masyarakat serta komuniti perniagaan di kawasan itu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang.
Tambahnya, pembinaan Anjung Usahawan bukan sahaja bakal menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih selesa kepada usahawan tempatan, malah diyakini mampu mengubah imej Sarikei sebagai sebuah bandar moden, terancang dan kondusif, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik lebih banyak peluang pelaburan pada masa hadapan.






