PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek-projek di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 diterapkan dengan prinsip tatakelola yang tegas dan tidak bertolak ansur.
Beliau berkata di bawah Kerajaan MADANI, pelan tersebut harus juga memikirkan soal kadar upah pekerja bagi syarikat kerjasama awam-swasta.
Ia harus mengambil kira aspek keperluan keluarga merangkumi perumahan, pendidikan serta kesihatan mengikut keadaan dan keupayaan syarikat.
“Ini keistimewaan konsep PPP (Public-Private Partnership) di bawah Kerajaan MADANI.
“Jadi, apa saya nak sampaikan adalah bagaimana harus kita teruskan dalam pelan kerjasama awam-swasta dan sosial dengan mengambil kira konsep ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di sini hari ini.
PIKAS 2030 bertujuan mengukuhkan tatakelola dan pengurusan projek yang dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta.
Ini adalah usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara di samping menguruskan cabaran fiskal.
Perdana Menteri berkata matlamat pelan strategik itu adalah untuk menyediakan landskap kerjasama awam-swasta yang teguh dan mampan bagi memacu kesejahteraan negara.
Beliau berkata Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan memastikan kepesatan serta kelulusan yang tidak terikat dengan karenah birokratik berlebihan terhadap projek-projek di bawah PIKAS 2030.
“Ia tidak boleh berganjak daripada prinsip utama mengenai tatakelola, untuk mengelak daripada sebarang kecurangan yang menjahanamkan impetus perubahan,” katanya.
Beliau mengaku terdapat keperluan buat Malaysia untuk memperbaiki beberapa aspek tatakelola dalam melancarkan pembangunan projek di negara ini.
“Kita tahu lebih 510 projek PPP yang telah diadakan, sebahagian besarnya mengikut tatakelola yang ketat, tetapi ada juga yang menunjukkan sedikit kelemahan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan terdapat 510 projek PPP di Malaysia yang berbeza dari segi skala dan jenis.
Ia diuruskan di bawah model berbeza seperti Bina-Kendali-Pindah (Build-Operate-Transfer – BOT), Bina-Pajak-Selenggara-Pindah (Build-Lease-Maintain-Transfer – BLMT) dan lain-lain, bergantung kepada sifat dan keperluan projek.
Kerajaan Malaysia menerusi UKAS di bawah Jabatan Perdana Menteri menyelia projek-projek ini untuk memastikan ia dilaksanakan selaras dengan objektif pembangunan negara. – BERNAMA



