
KUALA LUMPUR: Hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaaan Sarawak pasti akan diperkukuhkan bagi melakar Malaysia sebagai sebuah negara berketerampilan.
Demikian tekad Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima kunjungan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan rombongannya di kediamannya di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia merupakan kunjungan sulung Abang Johari ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10 pada Khamis.
“Pagi ini saya menerima kunjungan daripada Abang Johari bersama rombongannya di rumah.
“GPS menjadi antara tunggak yang membentuk Kerajaan Perpaduan yang dikemudi saya.
“Insya-Allah, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuhkan dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan,” kata Anwar dalam perkongsian di Facebooknya, hari ini.
Hadir sama, Ketua Whip Dun GPS yang juga Adun Satok Datuk Ibrahim Baki.
Terdahulu pada Khamis, Anwar dalam sidang media pertamanya mengesahkan PH menerima dokongan penuh Barisan Nasional (BN) dan GPS bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Katanya, gabungan tiga parti utama itu menjadikan kerajaan perpaduan dibentuk hasil sokongan 135 kerusi masing-masing 82 kerusi dari PH, BN (30) dan GPS (22).



