KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Mutang Tagal yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 pada Isnin.
Dalam perkongsian di Facebooknya, Anwar berharap bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.
Menurut Anwar, pelantikan Mutang yang berasal dari Lawas, Sarawak, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
“Pelantikan ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam mengiktiraf dan memastikan ruang suara, pandangan dan perwakilan daripada setiap kalangan rakyat, termasuk Orang Ulu, di Parlimen,” katanya.
Pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara yang berlangsung pada Isnin, Anwar mengemukakan nama Mutang yang merupakan calon tunggal bagi jawatan itu.
Mutang, 69, memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Curtin dan kini menjawat beberapa jawatan, antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI), Penasihat Undang-undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF). – BERNAMA






