KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Kerajaan MADANI berjaya membina asas yang lebih kukuh untuk Malaysia walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan kedudukan kewangan negara yang terbatas.
Beliau menyatakan perkara itu ketika genap empat tahun memikul amanah mentadbir negara, dengan kedudukan kewangan terus diperkemas, tatakelola diperbaiki dan reformasi institusi digerakkan.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar mengimbau tempoh awal pentadbirannya apabila ekonomi tertekan dan rakyat bergelut dengan peningkatan kos sara hidup seperti dilapor Bernama.
Beliau menegaskan perjalanan masih jauh kerana kemajuan sebenar diukur melalui kehidupan keluarga yang lebih baik, rezeki yang lebih terjamin dan masa depan anak-anak yang lebih terbela.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan, sambil berjanji mencurahkan segala daya dan upaya selagi diberi amanah itu.



