ARTIKEL

Kredit: FB Anwar Ibrahim

Anwar zahir dukacita pemergian Syed Naquib

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh pemikir peradaban Islam Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas yang disifatkan beliau sebagai antara pemikir teragung pada zaman ini.

“Beliau seorang ahli falsafah yang bukan sahaja mempersoalkan apa yang kita ketahui, tetapi juga tujuan sebenar ilmu itu.

“Menerusi karyanya yang banyak dan berpengaruh termasuk Islam and Secularism serta karya agungnya Prolegomena to the Metaphysics of Islam, beliau mencabar proses sekularisasi ilmu serta menggariskan asas intelektual kepada pandangan Islam. Malaysia mendengarnya. Dunia Islam juga mendengarnya,” kata beliau.

Perdana Menteri, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Syed Muhammad Naquib serta kepada semua yang pernah menimba ilmu daripada tokoh berkenaan.

“Beliau meninggalkan kita pada malam ke-18 Ramadan, pada usia 95 tahun. Itulah sebuah kehidupan yang penuh makna dan pemergian yang mulia. Semoga Allah merahmatinya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah,” kata beliau.

Syed Muhammad Naquib, pengasas dan pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) meninggal dunia pada 6.47 petang semalam.– BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU