Apa boleh buat, hidup harus diteruskan

SANTUBONG: Walaupun jualan ikan segar merosot teruk, bagi Rabuyah Putit, dia tidak akan berputus asa dalam meneruskan usaha menjual ikan demi menampung kelangsungan kehidupan harian.

Wanita berusia 54 tahun itu memberitahu, meskipun tempoh menjual ikan dikurangkan dari jam 9 pagi sehingga jam 5 petang, ia sudah memadai baginya untuk mengumpul perbelanjaan harian.

“Saya menjual ikan segar untuk menampung perbelanjaan harian sahaja pada masa ini. “Setiap hari saya akan menjual ikan di sini. Cuma jumlah ikan terpaksa dikurangkan kerana pelanggan tidak ramai,” katanya kepada Suara Sarawak di Buntal, semalam.

Tambah Rabuyah, hasil jualannya merosot kepada 50 peratus daripada hasil jualan sebelum PKP dilaksanakan. “Sebelum PKP, saya mempu memperoleh sehingga RM300 sehari, manakala pada hujung minggu jualan mence-cah lebih RM500.

“Tetapi selepas PKP dikuat kuasa, saya hanya dapat menjual ikan dengan pendapatan RM50 hingga RM100 sehari,” ujarnya. Jelasnya, ini kerana pembeli dari pusat bandar berkurangan ekoran pelaksanaan PKP.

“Sebelum ini, pembeli dari Kuching hingga Samarahan kerap datang ke sini. “Mereka membeli hasil laut segar seperti ikan, sotong dan siput. “Sekarang hanya pembeli dari kawasan Santubong dan Samariang yang datang. Mereka membeli ikan dalam kuantiti yang sedikit,” ujarnya.

Mengakui agak hampa dengan keadaan perniagaan yang terjejas, Rabuyah mengatakan PKP perlu dilaksanakan untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Saya berharap wabak itu segera lenyap supaya kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa. “Malah, pihak penguat kuasa sering meronda ke sini untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada pergerakan dilakukan oleh penduduk pada sebelah malam,” katanya.