Apa khabar dunia pendidikan kita?

Pendidikan merupakan perkara yang amat penting dalam kehidupan manusia.

Sejak kecil lagi, kita telah mendapat pendidikan tidak formal daripada ibu bapa dan sesiapa sahaja yang berada hampir dengan kita.

Biarpun tanpa silibus dan kurikulum lengkap, namun pendidikan awal di rumah banyak membentuk keperibadian, akhlak dan sikap seseorang.

Apabila menanjak usia tujuh tahun, kanak-kanak memerlukan pendidikan formal dalam kehidupan mereka.

Bermula dari rumah, proses pendidikan telah berpindah ke sekolah dan daripada ibu bapa kepada guru-guru yang bertauliah.

Proses ini berlanjutan sekurang-kurangnya sehingga tamat tingkatan lima.

Sepanjang mengikuti pendidikan formal di sekolah, tempoh masa pembelajaran ditetapkan agar murid mencapai tahap yang diperlukan.

Selain itu, penilaian turut dilakukan untuk menguji kefahaman pelajar.

Jelas, ini merupakan suatu proses yang amat penting, untuk mencapai tahap kemenjadian murid.

Namun begitu, sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, pendidikan konvensional yang sinonim dijalankan di dalam bilik kelas, telah beralih ke platform dalam talian.

Pun begitu, cabaran mengajar secara dalam talian tidak semudah yang disangka.

Selain kekangan peranti dan jaringan Internet yang dihadapi murid, guru juga berhadapan dengan kekangan untuk mengawal pelajar, iaitu satu proses yang tidak dapat dilakukan secara maya.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana, guru tidak dapat mengawal dan memantau penglibatan pelajar secara berkesan di dalam kelas maya yang dikendalikannya.

Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan warga pendidik yang kecewa, apabila terdapat segelintir pelajar yang tidak terlibat secara aktif semasa kelas dalam talian dilaksanakan.

Lebih menyedihkan, terdapat kelas dalam talian yang tidak disertai langsung oleh pelajar, walaupun guru tersebut telah bersusah payah menyediakan bahan pengajaran.

Di sebalik kekecewaan guru, kita juga wajar memikirkan kemampuan pelajar untuk turut serta dalam kelas maya.

Hal ini disebabkan tidak semua murid memiliki sekurang-kurangnya sebuah komputer atau telefon pintar yang mempunyai sambungan Internet.

Bagi murid daripada keluarga B40, kos pendidikan dalam talian pasti menjadi sesuatu yang mahal dan membebankan.

Lain pula kisahnya di kawasan luar bandar, mencari capaian Internet merupakan suatu perjuangan yang cukup luar biasa.

Ada yang terpaksa mendaki bukit, membina pondok di hutan, memanjat pokok dan sebagainya.

Hanya yang kuat semangat sahaja mampu mengharungi semua ini.

Bagi yang lemah, mereka akan terus ketinggalan dalam pelajaran yang dilaksanakan dalam talian.

Senario yang berlaku dalam dunia pendidikan hari ini, jelas membuktikan bahawa tidak semua proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sesuai dilaksanakan secara dalam talian.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana pendidikan bukan sekadar pemindahan ilmu kepada murid semata-mata, namun ia satu proses penting dalam pembentukan sahsiah pelajar.

Selain itu, pelaksanaan PdP secara dalam talian untuk tempoh yang lama, dikhuatiri akan melahirkan generasi hilang atau lost generation dalam sistem pendidikan kita.

Kebimbangan ini ada kewajarannya, kerana murid yang tidak mendapat akses pendidikan sepanjang tempoh PKP, berpotensi ketinggalan dalam pelajaran.

Perkara ini turut disuarakan oleh Audrey Azoulay, Ketua Pengarah Unesco, dengan mengatakan bahawa penutupan sekolah memberi kesan buruk kepada kanak-kanak dan remaja yang kurang berkemampuan.

Hal ini disebabkan sebarang gangguan dalam pendidikan, boleh mengancam hak kanak-kanak untuk mendapat akses pendidikan yang saksama.

Selain itu, tahun 2021 bakal menyaksikan murid Tahun 1 berpotensi mengalami masalah penguasaan literasi, berikutan
penutupan tadika dan prasekolah pada tahun ini.

Dalam hal ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar memikirkan gerak kerja baharu, bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Antaranya, mempertingkatkan program literasi bagi mengimbangi impak daripada penutupan sekolah pada tahun 2020.

Perkara ini penting kerana kebolehan membaca dan menulis dalam kalangan murid, menjadi pemacu kepada penguasaan ilmu-ilmu lain.

Selain menyerahkan perancangan pendidikan pasca-Covid-19 kepada pihak KPM, ibu bapa dan penjaga juga harus memainkan
peranan penting dalam memastikan anak-anak kita mendapat akses pendidikan, walaupun mereka belajar dari rumah.

Antaranya, memainkan peranan sebagai perantara antara guru dengan murid.

Bagi ibu bapa yang kurang berkemampuan atau yang tidak mempunyai sambungan Internet, berhubung dan berbincanglah
dengan guru serta pihak sekolah untuk mendapatkan bahan-bahan pengajaran dan latihan.

Guru pasti gembira penyediakannya, kerana guru yang baik amat mengutamakan masa depan anak didiknya.

Sehubungan itu, dalam menghadapi krisis kesihatan global yang tidak berpenghujung ini, usah biarkan anak-anak kita
terlepas daripada mendapatkan akses pendidikan yang disediakan.

Keadaan ini mungkin agak merumitkan, namun tindakan yang kita lakukan pada hari ini, bakal mencorak masa depan
mereka pada suatu hari kelak.

• Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.

Suara Sarawak