Apakah yang anda tahu tentang darurat?

CARIAN saya mengenai darurat 2021 memberikan jumlah maklumat sebanyak 45,000,000 dalam masa 0.25 saat.
Ye, banyak maklumat yang boleh digarap daripada hasil temuan melalui atas talian ini.
Namun, bagi tujuan penulisan saya kali ini, beberapa perkara akan dibincangkan untuk tatapan umum.
Diharapkan ia dapat memberikan kita fahaman yang baik justeru menambah ilmu di dada.
Perbincangan ini berdasarkan sumber seorang penulis yang mempunyai latar belakang undang-undang.
Selamat membaca!
Detik lebih kurang jam 11.20 pagi pada 12 Januari 2021, Malaysia menerima pengumuman penting. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.
Sebelum itu, Perdana Menteri Tan Sri Muyhiddin Yassin diterima menghadap Agong untuk mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri supaya baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat.
Kuasa untuk menyatakan sebarang perisytiharan darurat terdapat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Saya tidak akan menjelaskan secara terperinci tetapi cukup untuk menyatakan bahawa Agong mempunyai kuasa tertinggi mengisytiharkan darurat sama ada untuk seluruh negara atau untuk satu bahagian tertentu di negara ini.
Perkara 150 Fasal (1) memperuntukkan – sekiranya Agong berpuas hati dengan laporan berlaku ancaman keselamatan atau ekonomi dan ketenteraman awam, baginda boleh mengeluarkan pengisytiharan darurat yang dibuat di dalamnya.
Perkara 150 Fasal (2) Pengisytiharan Darurat di bawah Fasal (1) dapat dikeluarkan sebelum kejadian sebenarnya yang mengancam negara.
Kuasa Pemerintah
Kuasa pemerintah dalam keadaan darurat sangat luas. Ia menjadi pemerintah yang sangat berkuasa.
Ini diperuntukkan di bawah Artikel 150 (2) (c) YDPA membuat ketetapan tanpa proses Parlimen.
Manakala Fasal (2b) memperuntukkan – jika pada bila-bila masa perisytiharan darurat sedang berjalan, kecuali ketika kedua-dua Dewan Parlimen bersidang, Agong berpuas hati bahawa ada keadaan tertentu yang membuatnya perlu untuk mengambil tindakan segera, baginda boleh melakukan ketetapan sebagaimana keadaannya memerlukannya.
Fasal (2c) pula memperuntukkan – suatu ketetapan yang diundangkan di bawah Fasal (2b) harus memiliki kekuatan dan kesan yang sama dengan Undang-Undang Parlimen dan terus berlaku dengan kuatnya seolah-olah itu ialah Undang-Undang Parlimen sehingga dicabut atau dibatalkan berdasarkan Klausa (3) atau sehingga luput.
Kuasa Darurat
Ini bererti kerajaan tidak memerlukan persetujuan Parlimen untuk mengeluarkan dan membuat ketetapan yang mempunyai status yang sama seolah-olah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.
Selagi keadaan darurat berlaku, peraturan itu akan berkuat kuasa sepenuhnya. Walaupun keadaan darurat berakhir, peraturan (ordinan) tersebut akan terus berlaku kecuali sehingga Parlimen yang merupakan Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan resolusi untuk membatalkan peraturan tersebut.
Undang-undang atau ketetapan yang dibuat berdasarkan perundangan darurat tidak boleh diseret pengadilan dengan alasan apa pun dan mereka tidak boleh dicetuskan dengan alasan bahawa undang-undang tersebut mungkin tidak sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 150 Fasal (6)).
Kerajaan yang bertindak dalam keadaan darurat juga dapat memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya di mana-mana bahagian Persekutuan termasuk pilihan raya di Sarawak.
Malahan, kuasa darurat sangat kuat, contohnya pada 1966 antara Datuk Stephen Kalong Ningkan melawan Tun Abang Hj Openg, Kerajaan Persekutuan akhirnya mengisytiharkan darurat di Sarawak dan peraturan darurat memberi kuasa pemecatan ahli politik.
Perbuatan ini ditegakkan oleh Mahkamah Persekutuan dan Majlis Privy di United Kingdom.
Bagaimanapun, masih terdapat imbangan deklarasi darurat. Misalnya berkaitan kes Teh Ah Cheng melawan Pendakwa Raya, Majlis Privy memutuskan bahawa pengisytiharan darurat boleh menjadi cabaran di mahkamah walaupun terdapat Perkara 150 (8).
Kuasa Besar Darurat
Parlimen tidak perlu bersidang dalam keadaan darurat walaupun ia boleh dipanggil untuk bersidang.
Darurat disifatkan sebagai autoriti dan kuasanya terlalu luas dan bahkan Kerajaan Sabah dan Sarawak tidak dapat mencegah ketetapan darurat jika peraturan itu dibuat berdasarkan Perkara 150 (4).
Justeru, tidak ada pemerintah negara yang dapat menentang undang-undang darurat jika peraturan tersebut dibuat walaupun berkaitan dengan hal negara.
Hanya satu penambahan penting – tidak benar bahawa mahkamah tidak dapat beroperasi semasa kecemasan.
Tidak ada apa-apa bawah Perkara 150 yang menyatakan mahkamah tidak atau tidak dapat beroperasi dalam keadaan darurat.
Kerajaan Pas juga jatuh di Kelantan kerana pengisytiharan darurat pada 1977.
Ia jatuh pada 1978. Juga, jika kita imbau semula, Malaysia pernah melalui lapan darurat dan menjadikan pengistiharan darurat 2021 yang ke sembilan.
Antaranya ia melibatkan Tanah Melayu (1948-1960); Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1964); Sarawak (1966) – susulan krisis politik membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Ketua Menteri Sarawak pertama Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.
Darurat terus terpahat di minda kita ialah Rusuhan Kaum 13 Mei (1969; Kelantan (1977); Jerebu (1997, 2005, 2013) yang melibatkan tiga negeri iaitu 1997 (Sarawak), 2005 (Klang) dan 2013 (Muar dan Ledang).
Pada 2020, untuk mengekang dan menghalang berlakunya gelombang keempat penularan pandemik Covid-19, dua darurat diisytiharkan bagi Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik dan Dun Bugaya.
Maka, untuk mengekang pandemik Covid-19 yang menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini, suatu perisytiharan darurat dibuat dan tugas kita mematuhi apa jua kandungan di dalamnya.
• Dr.Nadrawina Isnin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Sarawak.

Suara Sarawak