Aplikasi mudah alih dalam urusan harian

KUCHING: Lebih 5,200 pekerja tetap Sarawak Energy menerima bayaran insentif sebanyak RM108 sempena pendaftaran akaun Sarawak Pay daripada pihak syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sharbini Suhaili berkata, insentif wang tunai tersebut diberi hasil kecemerlangan yang diterima oleh syarikat barubaru ini, atas anugerah yang dicapai.

“Tahun 2019, kami menerima anugerah perak atas prestasi baik yang diberi kepada pelanggan dalam urus tadbir dan penyampaian perkhidmatan. “Kami komited memajukan agenda ekonomi digital negeri dan menggalakkan tenaga kerja yang berdisiplin untuk kekal relevan dan cekap dalam menyesuaikan diri dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Sarawak Energy turut mempromosikan penggunaan Sarawak Pay dan e-Wallet dalam kalangan pekerja menerusi promosi insentif kakitangan bagi meningkatkan jumlah pengguna aplikasi mudah alih dalam perbadanan itu. Sarawak Pay merupakan platform pembayaran mudah alih tanpa tunai untuk menyokong usaha Kerajaan Sarawak dalam memperkasakan agenda ekonomi digital.

“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, bil bekalan elektrik di Sarawak boleh dibayar melalui aplikasi Sarawak Pay. “Penggunaan aplikasi ini sangat baik kerana ia dapat meningkatkan integrasi di kalangan masyarakat di negeri ini,” jelasnya lagi.

Untuk mencapai proses kerja yang lebih cekap dan kos yang efektif, Sarawak Energy juga memulakan inisiatif pemodenan perusahaan untuk meliputi pelbagai aspek pengurusan perniagaan. Ia termasuk pengenalan pembayaran gaji bersepadu melalui Sistem Tenaga Rakyat Sarawak (SEPS) dan proses kontrak dan perolehan yang sistematik melalui Sarawak Energy e-Procurement (SEPRO) pada tahun 2019.

“Ini adalah selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi utiliti digital menjelang 2025 dengan memanfaatkan teknologi dalam operasi harian. “Kami juga ingin menunjukkan betapa pentingnya teknologi dan sumbangan digitalisasi dalam mencapai visi untuk menjadi pembekal tenaga serantau,” jelasnya lagi.

Sarawak Pay dilancarkan secara rasmi pada 2017 oleh Kerajaan Sarawak untuk menyediakan dompet mudah alih yang mudah serta menyedikan urus niaga pembayaran digital untuk utiliti, penilaian, sewa tanah dan premium serta barangan termasuk perkhidmatan.

Suara Sarawak