DALAT: Seramai 40 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Dalat terlibat dalam aktiviti pembersihan pascabanjir di sini, kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Dalat, Leftenan Muda (PA) Muhammad Helmi Halim, berkata pihaknya memulakan pembersihan pada jam 8 pagi dan tamat pada 6 petang.

“Sebelum memulakan pembersihan, anggota yang terlibat mendengar taklimat mengenai tugas masing-masing.
“Dalam masa satu hari itu, kami membersihkan kawasan hadapan bangunan APM Daerah Dalat, parkir kenderaan, dan kawasan Tebingan Sungai Dalat,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sehubungan itu, Helmi turut memberitahu bahawa pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu membersihkan kawasan terjejas akibat banjir.
Ujarnya, ini termasuklah sekolah-sekolah di kawasan Dalat yang memerlukan bantuan pembersihan.

Aktiviti pembersihan seperti ini dapat mengeratkan silaturahim antara anggota.
Selain itu, ia juga dapat mengembalikan kawasan yang terjejas banjir kepada keadaan seperti biasa.

Di samping itu, selepas pembersihan ini, para peniaga dapat beroperasi di kawasan yang lebih bersih dan selesa.
Justeru, pembersihan beramai-ramai semasa pascabanjir ini penting agar ia berjalan dengan lancar dan memudahkan lagi kerja.





