APM Sarawak sedia 1,210 anggota, 69 bot hadapi kemungkinan banjir

KUCHING: Sebanyak 1,210 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri sedia digerakkan dalam menghadapi sebarang kemungkinan kejadian banjir di seluruh Sarawak ekoran musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini hingga Mac tahun hadapan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata selain kesiapsiagaan anggota, APM turut membuat persediaan rapi dari segi aset yang diperlukan.

Ini katanya, termasuk menambah sebanyak 23 bot pada tahun ini menjadikan keseluruhan sebanyak 69 buah berbanding hanya 46 bot pada tahun lepas.

“Selain itu, APM juga telah mempersiapkan sebanyak lima unit dron, 17 lori, 19 kenderaan pacuan empat roda dan 13 ambulans,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat lanjut mengenai pengurusan bencana di peringkat pusat dijadual diadakan 16 Okt ini di Putrajaya dan akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana.

Turut berlangsung kini adalah taklimat kepada pegawai dan anggota APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam pengurusan pusat pemindahan banjir. – Bernama

Suara Sarawak