KUALA LUMPUR: Pelakon baharu Ariana Ryry menjadikan Nabila Huda sebagai sumber inspirasi untuk memantapkan kerjaya lakonannya kerana kagum dengan keupayaan pelakon versatil itu membawakan pelbagai watak dengan berkesan.

Menurut Bernama, Ariana atau Nurul Aina Adriana Musaidi, 24, berkata impian terbesarnya ialah bergandingan dengan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) itu di layar perak serta berguru dengannya.
Pemenang tempat keenam Dewi Remaja 2025 itu turut mengakui minat terhadap dunia lakonan telah bermula sejak kecil, namun memberi keutamaan kepada pelajaran atas permintaan keluarga.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata beliau mahu mencabar kemampuan menerusi watak aksi dan sanggup mengikuti latihan seni mempertahankan diri.

Ariana mula dikenali menerusi watak antagonis Tasya dalam drama vertikal Ex Girlfriend Suamiku Delulu.
Beliau turut memanfaatkan platform Instagram dan TikTok untuk berkongsi kandungan berkaitan kecantikan dan fesyen sebagai usaha mempromosikan bakat, selain mengakui media sosial memainkan peranan penting dalam membuka peluang lakonan.
Ariana kini mempunyai lebih 63,000 pengikut di TikTok dan sentiasa terbuka menerima kritikan membina.
Selain drama, Ariana pernah muncul dalam beberapa video muzik popular termasuk Kampung Kita nyanyian Wani Kayrie, Cuba Jadi Aku (Nadeera) serta dua video muzik kumpulan M-pop XONE, selain menganggap bimbingan pelakon senior Aishah Atan banyak membantunya meningkatkan teknik lakonan dan penghayatan watak.






