KUCHING: Gabungan persembahan artis luar negara dan tempatan bakal menggegarkan penganjuran Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 dan 3 Disember ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beberapa artis dari Thailand, Filipina, India, Indonesia dan Singapura mengesahkan kehadiran bersama-sama artis undangan tempatan memeriahkan penganjuran SIFMA edisi keempat itu kelak.
“Kita telah berusaha dengan bergiat secara aktif demi membawa masuk artisartis ternama antarabangsa sebanyak mungkin dalam memastikan rakyat Sarawak dapat membangunkan seni, muzik dan seni persembahan di negeri ini.
“Tujuannya adalah untuk memupuk minat, lebih-lebih lagi sebagai persediaan pembukaan Pusat Seni Persembahan yang dijadualkan siap kira-kira lebih dua tahun,” katanya pada sidang media majlis di Bangunan Baitulmakmur II, semalam.
Jelas Abdul Karim, antara pembaharuan dalam SIFMA4 kali ini adalah pendedahan bakat baharu tempatan khususnya dalam kalangan artis Sarawak di samping mempromosikan Sarawak kepada pengunjung luar.
Dalam perkembangan sama, beliau percaya seni persembahan Sarawak kini mulai mendapat perhatian bukan sahaja daripada golongan muda, namun tidak kurangnya sambutan daripada golongan dewasa.
Untuk itu, beliau meminta pihak berkepentingan termasuk Sekolah Seni Sarawak, Majlis Seni Sarawak, unit kebudayaan tempatan serta sektor swasta untuk mewujudkan lebih banyak program kerjasama untuk setiap kategori dan umur.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Dr Geraldine Law Lee berkata, acara ini berfungsi sebagai platform dalam mempromosikan artis tempatan serta lokasi menarik sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar terdapat di Sarawak.
“Atas dasar itu kami telah mengekalkannya (SIFMA) sehingga kini dengan permulaan acara muzik dan tarian.
“Kami percaya SIFMA mampu menjadi platform membawa Sarawak ke pentas dunia, yang mana masyarakat dunia dapat menikmati sendiri keistimewaan yang terdapat di Sarawak,” ujarnya pada majlis sama.
Untuk makluman, tiket SIFMA4 boleh didapatkan bermula 7 November ini di laman www.sifma.com atau IMH Music House Sdn Bhd.



