BINTANG pop terkenal seperti Dua Lipa, Coldplay, Sam Fender, Radiohead dan The Cure menyeru Perdana Menteri United Kingdom (UK), Sir Keir Starmer, supaya menunaikan janji pilihan rayanya untuk melindungi peminat daripada penjual tiket haram.
Lebih 40 pemuzik menandatangani surat yang mendesak kerajaan menghentikan amalan menaikkan harga tiket secara melampau serta menetapkan had harga bagi penjualan semula.
Kerajaan mula mengadakan perundingan awam pada Januari lalu selepas menerima aduan peminat yang kecewa kerana tiket diborong penjual haram di pasaran utama dan dijual semula pada harga tinggi.
Namun, tujuh bulan kemudian, masih tiada tarikh jelas bilakah undang-undang berkaitan akan diperkenalkan.
Kajian Which? yang merupakan organisasi pengguna menunjukkan beberapa tiket konsert Oasis di Stadium Wembley pada musim panas ini dijual sehingga £4,442, manakala CMA mendapati tiket yang dijual semula biasanya dinaikkan lebih 50 peratus.
Kerajaan sebelum ini mempertimbangkan had harga sehingga 30 peratus.
Dan Smith dari Bastille berkata peminat sepatutnya dilindungi daripada kenaikan harga, seperti yang dilakukan di Ireland dan Australia.
“Dengan sokongan kerajaan, kita boleh memastikan peminat sebenar tidak ditipu penjual haram dan masih boleh menjual semula tiket pada harga asal,” katanya.
Surat pemuzik itu turut disokong oleh artis lain seperti PJ Harvey, Mark Knopfler, Amy MacDonald, Iron Maiden dan Nick Cave.
Mereka bersama organisasi pengguna menuntut kerajaan segera bertindak, termasuk memasukkan undang-undang had harga dalam King’s Speech akan datang, bagi memulihkan keyakinan terhadap sistem tiket dan memastikan akses kepada seni lebih demokratik.
Kajian Which? mendapati penjual besar dari Brazil, Dubai, Singapura, Sepanyol dan AS membeli tiket secara pukal sebelum menjual semula di laman seperti StubHub dan Viagogo.
BBC juga mendedahkan pasukan pekerja luar negara membeli tiket untuk konsert di UK semata-mata untuk meraih keuntungan.
Masalah lain termasuk kesukaran mengenal pasti penjual serta penjualan spekulatif, iaitu tiket disenaraikan walaupun belum dibeli.
Viagogo dan StubHub berhujah bahawa had harga boleh mendorong pelanggan ke laman tidak terkawal dan meningkatkan risiko penipuan.
Mereka menekankan bahawa kebanyakan penjual ialah peminat yang tidak lagi menggunakan tiket dan berkata had harga hanya akan mengukuhkan monopoli Ticketmaster.



