KUCHING: Kolej Komuniti Kuching terus membuktikan komitmen dalam menyediakan pendidikan inklusif dengan melaksanakan Program Pemantapan Asas Jahitan Kreatif khusus untuk pelajar Sijil Khas Jahitan Kreatif (KJT) bertempat di Pusat Kraftangan Epal, Electra House di sini.
Ketua Program KJT, Gracienthy Goen, berkata program ini dilaksanakan selaras dengan subjek KJT20074 Produk Hiasan Dalaman yang memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran asas jahitan dan penghasilan produk berasaskan kreativiti.

“Program ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada pelajar berkeperluan khas, khususnya mereka yang mempunyai masalah pembelajaran atau Learning Disabilities (LD), untuk mengasah bakat seni yang dimiliki.
“Justeru, melalui pendekatan amali, pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal dalam bidang jahitan, malah turut dibimbing dari aspek kepimpinan, disiplin, pengurusan serta persediaan ke alam pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan.
Menjelas lanjut, tambahnya, usaha berterusan ini adalah manifestasi keprihatinan institusi dalam membantu kecemerlangan pelajar.
Katanya, setiap pelajar mempunyai bakat dan potensi tersendiri, dan tugas mereka adalah memberi ruang serta peluang untuk pelajar tersebut menyerlah.
“Impak pelaksanaan bengkel ini dapat dilihat dari beberapa sudut. Pertama, ia membantu meningkatkan potensi diri pelajar berkeperluan khas dari aspek fizikal dan kognitif.
“Kedua, ia memberi pendedahan berkaitan nilai kepimpinan serta disiplin yang amat penting dalam dunia pekerjaan. Ketiga, ia menonjolkan kreativiti pelajar berkeperluan khas dalam melahirkan produk jahitan yang mampu bersaing seiring cabaran globalisasi masa kini,” ujarnya.
Beliau memberitahu, melalui program ini, Kolej Komuniti Kuching yakin pelajar berkeperluan khas bukan sahaja mampu berdikari, malah berupaya mencipta masa depan yang lebih cerah dengan berbekalkan kemahiran dan keyakinan diri yang dipupuk sepanjang pengajian.
Terdahulu, Gracienthy telah menghadiri Program Pentauliahan Profesional dalam bidang Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) Pelajar Khas (Masalah Pembelajaran) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.




