Asah kemahiran menulis

SIMANGGANG: Semua anak tempatan negeri ini dialu-alukan untuk menyertai Pertandingan Menulis Esei yang dianjur oleh Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sarawak.

Ketua Armada Sarawak Alexander Frusis berkata, pertandingan berkenaan dibuka kepada semua individu berumur antara 18 hingga 35 tahun, bermula pada 1 Mac hingga dan berakhir pada 20 Mac nanti.

“Tujuan utama pertandingan berkenaan diadakan untuk menyediakan wadah kepada para belia bagi menonjolkan bakat menulis menerusi penggunaan bahasa yang tepat, teratur dan gramatif secara kreatif.

“Pertandingan tersebut juga bertujuan untuk mempertingkatkan penguasaan anak-anak muda kita terhadap kemahiran menulis dalam bahasa Melayu ke arah memantapkan lagi bahasa pengantar negara pada masa akan datang,” katanya.

Menerusi pertandingan tersebut, peserta diberi peluang untuk memilih salah satu daripada dua tema yang ditetapkan oleh penganjur yang bersesuaian dengan corak, idea dan pendapat penulisan masing-masing.

Antara tema yang boleh dipilih oleh peserta ialah Politik Pembangunan Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, Relevenkah? dan Norma Baharu, Pasca-Wabak Covid-19. Bersediakah kita?

“Kriteria pemilihan berdasarkan isi penulisan dan olahan penulis, analisis masalah berfakta, gaya bahasa yang digunakan, cadangan mahu pun idea yang disampaikan serta ketetapan ejaan.

“Justeru mereka yang berminat untuk mendapatkan borang penyertaan boleh menghubungi saya di talian 017-7117905 dengan borang yang sudah siap diisi termasuk esei boleh dihantar ke email armada.bersatusarawak@ gmail.com untuk tujuan penilaian,” kata beliau.

Peserta juga boleh menghubungi Aduka Adlisyah di talian 013-6809558, Amirul Jeffery Igai di talian 019-2270720 dan Muhammad Zul Hafiq di talian 011- 26832160 bagi tujuan sama.

“Johan akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500, naib johan RM250, tempat ketiga RM100 dan RM50 untuk sagu hati berserta sijil penghargaan yang ditandatangan khas oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal,” katanya.

Suara Sarawak