ASEAN tekad percepat transformasi digital

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1), yang melabuhkan tirainya semalam merumuskan pentingnya mempercepat transformasi digital inklusif ASEAN yang akan berfungsi sebagai strategi penyelesaian bersepadu untuk krisis COVID-19.
Dalam kenyataan bersama, para menteri sepakat untuk menjadikan ia satu daripada strategi utama di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan Pelan Pelaksanaannya.
“Menteri-menteri mengakui akan cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini yang dicetuskan pandemik COVID-19 dan mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa dan rutin kehidupan yang terjejas,” menurut kenyataan dikeluarkan pada hari terakhir ADGMIN1, dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah secara maya.
Sementara itu, para menteri berkata ASEAN telah melakukan sedaya upaya untuk menyelesaikan Pelan Induk ICT ASEAN 2020 (AIM2020), menerusi pelaksanaan 51 projek untuk lapan teras strategi pelan induk tersebut.
“Usaha ini telah menyumbang kepada peningkatan dalam pengembangan ICT dan hubungan di rantau ini,” katanya.
Para menteri turut menyambut baik pelancaran Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025) bertujuan membimbing kerjasama digital ASEAN dari 2021 hingga 2025 dalam merealisasikan ASEAN sebagai komuniti digital dan blok ekonomi terkemuka, dipacu oleh perkhidmatan, teknologi dan ekosistem digital yang selamat dan transformatif, selain keselamatan siber untuk memupuk ruang digital berkualiti.
Mereka turut mengalu-alukan pelaksanaan Garis Panduan Kerangka Kerja Pengurusan Data ASEAN (DMF) dan Mekanisme Aliran Data Rentas Sempadan ASEAN (CBDF), yang merupakan inisiatif Kerangka Kerja ASEAN mengenai Tadbir Urus Data Digital.
Ia dibina berdasarkan prinsip-prinsip Kerangka Kerja ASEAN mengenai Perlindungan Data Peribadi untuk menyelaraskan pengurusan data dan standard aliran data rentas sempadan di rantau ASEAN, meningkatkan daya saing digital negara anggota dengan mewujudkan persekitaran selamat, telus dan bertanggungjawab untuk menjalankan perniagaan dan membina kesediaan ASEAN memanfaatkan peluang digital baharu.
“Ini akan mempersiapkan ASEAN untuk bekerjasama dengan rakan serantau dan global lain dalam mewujudkan pengurusan data yang boleh dikendalikan dan standard aliran data rentas sempadan di seluruh dunia,” kata kenyataan itu.
Pada mesyuarat itu, para menteri turut menerima pakai Deklarasi Putrajaya mengenai ‘ASEAN – sebuah Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital’.  — BERNAMA

Suara Sarawak