KUCHING: Bermula 1 Ogos ini, Timbalan Presiden Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bakal memangku jawatan presiden sehingga berlangsungnya Mesyuarat Agung ISWAMI.
Setiausaha Agung ISWAMI Malaysia, Mohd Shukri Ishak berkata ia susulan peletakan jawatan Presiden ISWAMI Malaysia, Ashwad Ismail yang berkuat kuasa pada 31 Julai 2025.

“Pemangkuan itu akan berkuat kuasa sehingga Mesyuarat Agung ISWAMI Malaysia yang dijangka diadakan akhir tahun ini dengan pemilihan kepimpinan baharu bagi penggal 2025-2027 dilaksanakan.
“Merujuk Perlembagaan ISWAMI, Perkara 8 (vi), (vii) dan (viii), jika berlaku kekosongan jawatan Presiden (meletak jawatan atau sebagainya), jawatan berkenaan hendaklah dipangku Timbalan Presiden,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Ahli Majlis Tadbir ISWAMI Malaysia, Datuk Linchong Angkui mengusulkan agar Timbalan Presiden ISWAMI Malaysia memangku jawatan Presiden dan disokong oleh Naib Presiden 2 ISWAMI Malaysia, Kamarudin Mape.
Jelasnya lagi, ISWAMI menghormati keputusan Ashwad untuk meletakkan jawatan serta merakamkan setinggi penghargaan kepada beliau dan mendoakan agar beliau terus maju jaya.
Sementara itu, Ashwad berkata keputusan peletakan jawatan itu dibuat setelah pertimbangan mendalam, mengambil kira komitmen dan tanggungjawab profesional sebagai Ahli Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia yang berkuat kuasa 15 Julai 2025.
“Saya percaya sudah tiba masanya untuk memberi ruang kepada barisan kepimpinan media lain meneruskan kesinambungan perjuangan dan visi ISWAMI dengan lebih segar dan dinamik.
“Saya amat berbesar hati kerana diberi peluang berkhidmat bersama barisan kepimpinan dan ahli-ahli ISWAMI sepanjang tempoh perkhidmatan saya,” jelasnya.
Tambahnya, segala kerjasama, sokongan dan semangat setia kawan yang diberikan di Malaysia dan Indonesia amat dihargai dan akan terus dikenang.
“Saya berdoa agar ISWAMI terus maju jaya dalam memperkukuh jalinan profesional serta hubungan harmoni antara komuniti wartawan Malaysia dan Indonesia berpandukan semangat dan prinsip kemakmuran bersama,” ujarnya.



