MENANTU Abby Abadi, Ahmad Aslam mengakui kesilapannya apabila berkahwin tanpa pengetahuan orang ramai dan memilih untuk berpoligami.
Menurut Aslam, beliau juga mengetahui tentang risiko dan beban yang harus ditanggung ketika berpoligami.
Ujarnya, beliau juga ingin melaksanakan tanggungjawabnya dan enggan bermain dengan perasaan dan masa hadapan orang lain.
“Ya, saya memilih untuk berpoligami.
Dan ya, saya berkahwin secara senyap-senyap tetapi kerana keadaannya yang memerlukan begitu.
“Saya tahu risiko dan beban yang datang bersamanya.
Tapi saya juga tahu lebih baik saya bertanggungjawab daripada terus bermain dengan perasaan dan masa depan orang lain,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Aslam juga memastikan tanggungjawabnya terhadap kedua-dua isterinya dipenuhi demi menjaga maruah dan niat baik keluarganya.
“Demi menjaga maruah dan niat baik keluarga, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kedua-dua isteri saya.
Mereka tidak berkongsi tempat tinggal, tidak berkongsi nafkah.
“Masing-masing saya jaga mengikut kemampuan dan keperluan mereka. Saya bukan sempurna tetapi saya berusaha berlaku adil,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aslam turut menghormati pandangan pihak lain yang menentang poligami.
Namun, beliau tidak menganggap sindiran dan tohmahan secara terbuka sebagai pandangan, tetapi sebagai serangan peribadi.
Sementara itu, Aslam turut berharap agar sesiapa sahaja yang menyindirnya lebih fokus kepada memperbaiki hubungan keluarga sendiri daripada membuka aib dan mencari simpati awam.



